CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 348|Reply: 0

[Selangor] Bantu mangsa kemalangan, dompet pula hilang

[Copy link]
Post time 10-10-2022 04:05 PM | Show all posts |Read mode

ABDULLAH Ahmad Sazili diuji apabila hilang dompet dan wang ketika membantu mangsa kemalangan.

Subang Jaya: Niat Abdullah Ahmad Sazili membantu mangsa kemalangan jalan raya kelmarin adalah untuk meringankan beban.

Bagaimanapun, lain jadinya apabila dompetnya hilang ketika di tempat kejadian hingga menyebabkannya kerugian sejumlah wang termasuk yang ada dalam akaun bank.

Kisah itu mendapat perhatian selepas Abdullah memuat naik ciapan di Twitter.

Bercerita lanjut, Abdullah, 29, berkata, dia menyedari ada sebuah kereta terbabas di bahu jalan dekat Tanjung Malim ketika dalam perjalanan pulang dari Ipoh, Perak ke Kuala Lumpur.

"Saya memandu kereta ketika itu dan ditemani isteri (Nur Aisyah Khan, 23). Sebaik melalui jalan berkenaan, saya nampak ada sebuah kereta terbabas jadi ambil keputusan berhenti di tepi jalan untuk membantu.

"Sebaik menghampiri kereta terbabas itu, saya lihat ada lelaki dan wanita di dalamnya, difahamkan mereka adalah pasangan kekasih.

"Mangsa lelaki masih sedar manakala teman wanitanya pengsan jadi saya cuba membantu mengeluarkan mereka yang tersepit sementara menunggu ambulans tiba kerana bimbang memandangkan kenderaan itu berada di laluan sibuk," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurut Abdullah, selain dia dan isteri, ada beberapa lagi pengguna lebuh raya lain yang turut memberhentikan kenderaan mereka di kawasan kemalangan.

Katanya, kira-kira 30 minit juga dia berada di tempat kejadian dan tidak perasan dompetnya tercicir kerana sibuk membantu mangsa.

"Sebaik polis tiba, saya beransur dari tempat kejadian untuk teruskan perjalanan dan hanya sedar dompet sudah tiada ketika berhenti membeli minuman di stesen minyak berhampiran Plaza Tol Subang, Subang Jaya.

"Saya syak dompet itu tercicir di lokasi kemalangan sedangkan seingatnya ia masih ada ketika di Ipoh. Dari Subang Jaya, saya berpatah balik semula ke Ipoh untuk mencari dompet tetapi tidak menemuinya.

"Waktu itu juga saya terfikir untuk periksa baki akaun dalam bank dan dapati wang RM200 lesap kerana ada pembelian dibuat menerusi kaedah 'Pay Wave' di sebuah stesen minyak dekat Batu Caves, Gombak.

"Dalam dompet pula ada wang sebanyak RM400 dan jadi jumlah kerugian adalah RM600," katanya yang sudah membuat laporan di Balai Polis Pantai, Kuala Lumpur atas kehilangan dompetnya.

Abdullah berkata, wang RM400 dalam dompet itu mahu digunakan untuk menyelenggara motosikal.

Bagaimanapun, Abdullah reda dengan apa yang berlaku dan anggap tiada rezeki untuknya pada hari berkenaan.

"Saya tidak ralat dengan apa yang berlaku kerana sudah ditakdirkan ia akan terjadi walaupun bukan di tempat kemalangan itu.

"Lagipun emak saya pernah berpesan supaya jangan berkira menolong orang dan percaya dalam rezeki kita, akan ada rezeki orang lain juga jadi saya reda.

"Ketika banjir besar di Pahang saya ada juga turun membantu dan Alhamdulillah, ada rezeki lain datang sebaik selesai misi berkenaan.

"Jadi, apabila benda macam ini terjadi, saya berlapang dada saja. Insya Allah ada rezeki lain. Netizen pun banyak doakan saya dan seronok baca komen mereka," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... -dompet-pula-hilang
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

24-5-2024 12:07 AM GMT+8 , Processed in 1.095357 second(s), 27 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list