|
Anggota bomba menurunkan mayat lelaki yang ditemui terbaring akibat terkena renjatan elektrik.- Foto NSTP/Ihsan Bomba
ALOR SETAR: Seorang lelaki ditemui meninggal dunia di atas bumbung sebuah rumah di Lorong Pauh, Derga dalam keadaan terbaring, dipercayai akibat terkena renjatan elektrik.
Dalam kejadian itu, mangsa berusia 38 tahun itu dipercayai sedang melakukan kerja penyelenggaraan di atas bumbung rumah berkenaan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar, Timbalan Penguasa Bomba II Ahmad Naufal Abdullah, berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 11.46 pagi.
Beliau berkata, sepasukan anggotanya tiba di lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan MERS yang disalurkan dari Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah.
"Setibanya anggota di lokasi, didapati terdapat seorang lelaki terbaring di atas bumbung dan dipercayai terkena renjatan elektrik ketika melakukan kerja penyelanggaraan di atas bumbung rumah berkenaan.
"Mangsa disahkan meninggal dunia oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dan tindakan komander operasi bersama anggota BBP Alor Setar ialah dengan melakukan kerja menyelamat membawa mangsa turun dengan menggunakan alat pengusung.
"Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan mengklasifikasikan kes sebagai mati mengejut.
Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk tindakan lanjut.
|
Rate
-
1
View Rating Log
-
|