Pulau Pinang buat keputusan operasi bazar Ramadan minggu depan
Oleh Zuhainy Zulkiffli - Februari 21, 2022 @ 4:44pm
Foto hiasan - NSTP/ARKIB
GEORGETOWN: Keputusan pengoperasian bazar Ramadan di negeri ini dijangka dimuktamadkan pada Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan COVID-19 negeri, minggu depan.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, berkata semua keputusan di peringkat negeri akan dibuat bergantung pada situasi semasa penularan wabak walaupun penganjurannya sudah dibenarkan kerajaan Pusat.
"Kita akan lihat pembentangan situasi semasa COVID-19 pada mesyuarat itu sebelum membuat keputusan," katanya kepada media di Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR), di sini hari ini.
Kon Yeow berkata, kerajaan negeri juga akan memaklumkan sebarang perubahan prosedur operasi standard (SOP) berkaitan usaha mengekang penularan COVID-19 di negeri ini pada minggu depan.
"Isu memperketatkan SOP juga akan turut dibincang pada mesyuarat yang sama berkaitan status operasi bazar Ramadan. Sebarang perkembangan juga akan dimaklumkan selepas mesyuarat itu diadakan minggu depan," katanya lagi.
Baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata tiada sekatan akan dikenakan ke atas kegiatan ekonomi, termasuk Bazar Ramadan pada tahun ini, namun SOP bazar akan diperhalusi dan diumumkan apabila sampai masanya nanti.
Dalam pada itu, Kon Yeow memaklumkan, walaupun jumlah kes harian COVID-19 di negeri ini mencecah angka antara 1,000 hingga 2,000 kes sehari, tidak semua membabitkan varian Delta dan Omicron.
"Setakat pertengahan Februari ini, sebanyak 544 kes varian Delta dicatatkan di negeri ini, diikuti 37 kes varian Omicron," katanya.
|