|
Durian yang dibawa seorang bapa untuk dipilih sebagai ganti untuk membeli mainan anaknya di tapak jualan mainan di Jengka. Foto Ihsan Azizul Asri Ahmad Tajudin
Bayan Lepas: "Saya dan rakan kongsi tolak tepi soal untung atau rugi ketika itu kerana sepakat untuk berkongsi rezeki," kata peniaga mainan, Mohamad Fakhrullah Shahran.
Mohamad Fakhrullah, 29, berkongsi kisah seorang bapa yang sanggup membayar mainan dibeli buat anaknya dengan durian jualannya.
Kisah menyentuh hati itu tular selepas dikongsikan di Facebook (FB) Harga Rapat milik Amir Mohamad Ahmad Tajudin, 29, bersama abangnya, Azizul Asri Ahmad Tajudin, 37, yang juga peniaga mainan serta rakan kongsi Mohamad Fakhrullah.
Bercerita lanjut, Mohamad Fakhrullah berkata, kisah itu berlaku ketika dia bersama Amir Mohamad dan Azizul Asri menjual mainan di tapak jualan dekat Jengka, Pahang pada 25 Januari lalu.
"Ketika itu, kami nampak ada pasangan suami isteri dan empat anak mereka makan di kedai berhadapan dengan tapak jualan.
"Selesai makan, mereka singgah ke tapak jualan kami dan kelihatan anak sulung pasangan itu bersungguh mahukan dron mainan yang kami jual.
"Bagaimanapun, bapanya tidak cukup wang dan apa yang mengejutkan, dia sanggup tawarkan durian sebagai ganti untuk membeli mainan berkenaan," katanya ketika dihubungi Harian Metro hari ini.
Menurut Mohamad Fakhrullah, mendengar kata-kata pelanggan berkenaan, dia dan rakan kongsinya cuba berbincang.
"Luluh juga hati kami apabila mendengar tawaran pelanggan itu kerana nampak dia bersungguh untuk memenuhi keinginan anaknya.
"Sebelum ini, memang ada pelanggan cuba tawar menawar kerana tidak cukup duit, namun belum ada yang mahu tukarkan mainan dengan durian atau barangan milik mereka.
"Melihat wajah pelanggan itu dan anaknya membuatkan kami tidak sampai hati untuk menolak dan akhirnya terima tawarannya," katanya.
Mohamad Fakhrullah berkata, selepas dia dan rakan kongsinya menyatakan persetujuan menerima tawaran berkenaan, pelanggan berkenaan terus memberitahu mahu pulang ke rumah untuk mengambil durian.
"Pelanggan itu kemudian datang ke semula ke tapak jualan kami dengan membawa durian sebagai tukaran untuk membayar dron, kereta kawalan jauh dan mainan kecil lain yang harganya lebih RM200.
"Dia beri kami lebih lima ke enam biji durian dan saya nampak riak wajahnya yang sebak bercampur terharu dan lega kerana dapat memenuhi keinginan anaknya.
"Sementara anaknya pula nampak gembira dan di situ, saya dapat lihat betapa besarnya pengorbanan seorang ayah," katanya.
Mohamad Fakhrullah berharap perkongsian itu dapat memberi mesej positif dan inspirasi untuk peniaga atau sesiapa saja untuk berkongsi rezeki.
"Jangan takut untuk berkongsi rezeki. Percayalah, rezeki itu sudah diatur Allah cuma kita perlu berusaha untuk mendapatkannya.
"Saya dan rakan kongsi sendiri pernah bermula daripada bawah ketika mula menjual mainan di tepi jalan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu jadi cuba bantu orang lain mengikut kemampuan," katanya yang sudah memiliki kedai mainan, Wael Toys di Jalan Kampung Bukit di sini, dan aktif berkongsi pengalaman bersama pelanggan menerusi FB Harga Rapat Penang |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|