|
REMAJA ditahan polis dalam Op Samseng Jalanan di Kuala Kedah. FOTO ihsan polis
Alor Setar: Tindakan remaja lelaki melakukan aksi merbahaya dengan menunggang motosikal sambil mengangkat tayar hadapan serta melakukan aksi zig zag di Jalan Padang Garam, Kuala Kedah mengundang padah apabila ditahan polis, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, remaja berusia 15 tahun itu ditahan anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar di sekitar daerah ini.
Beliau berkata, operasi dilakukan lewat petang itu berakhir pada jam 11 malam menerusi Op Samseng Jalanan.
"Dalam operasi ini, anggota kita menahan remaja lelaki terbabit bersama motosikal yang dikesan mengangkat tayar serta melakukan aksi zig-zag untuk menduga kelajuan di lokasi berkenaan.
"Ujian saringan awal air kencing yang dilakukan mendapati remaja terbabit negatif pengambilan dadah," katanya di sini hari ini.
Ahmad Shukri berkata, remaja lelaki itu ditahan mengikut seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Beliau turut menasihatkan ibu bapa atau penjaga supaya menitik beratkan pengawasan anak masing-masing supaya tidak terjebak dengan aktiviti tidak sihat kerana perbuatan itu akan menjejaskan masa depan anak muda.
"Antara saman yang dikeluarkan membabitkan kesalahan tiada lesen dan cukai jalan tamat tempoh, mengubah suai kenderaan serta pelbagai kesalahan trafik lain.
"Tindakan tegas dan proaktif yang dilakukan pihak trafik IPD Kota Setar akan terus dipergiatkan bagi membanteras aktiviti seumpama ini," katanya.
Oleh itu katanya, sekiranya terdapat sebarang maklumat mengenai kegiatan tidak sihat atau maklumat mengenai jenayah bolehlah disalurkan kepada pihak trafik atau mana-mana balai yang berhampiran.
|
Rate
-
1
View Rating Log
-
|