|
Emas rawat wajah
Oleh Halina Mohd Noor
NILAI emas tiada tolok bandingnya. Emas menggambarkan kemewahan dan kekayaan dengan warnanya yang berkilau. Dikenali sebagai 'besi daripada matahari', sinaran emas memukau pandangan. Pada zaman lampau, emas bukan saja dikagumi dan dimiliki golongan diraja, tetapi dipercayai mempunyai keajaiban dan kuasa penyembuhan. Ia juga dikatakan digunakan untuk kecantikan serta mengekalkan keremajaan kulit wajah.
Bagaikan roda, kualiti emas kembali mendapat perhatian pakar kecantikan hari ini. Dua tahun lalu, pupur emas digunakan oleh pakar kecantikan Asia seperti Jepun yang menggabungkan inovasi kosmetik dan perubatan tradisional. Malah masyarakat di China sudah menggunakan daun emas sebagai bahan perubatan, manakala di India, emas digunakan untuk merawat penyakit jantung. Kononnya ia didakwa mampu menguatkan peredaran darah.
Pupur emas 24 karat: Rawatan terkini digunakan bagi mengurangkan kesan penuaan pada wajah
HARI ini, emas 24 karat digunakan dalam kosmetik moden dalam bentuk pupur yang meremajakan kulit wajah. Syarikat kosmetik yang memperkenalkan kaedah rawatan itu mendakwa, emas boleh menegang dan menguatkan kulit, mengurangkan kemunculan jeragat dan kekasaran wajah, seterusnya menjadikan kulit lebih jernih serta segar.
Kajian saintifik menunjukkan emas menggalakkan penyerapan lebih cepat molekul oksigen ke dalam kulit, membolehkan fungsi selular berada pada tahap paling tinggi. Hasilnya, kulit lebih berseri dan kelihatan lebih sihat.
Membalikkan proses oksidasi dalam serat kolagen dan menghubungkan fabrik kulit, emas menjadikan kulit lebih lembut, anjal dan muda. Bahan itu juga berkemampuan menjadikan kulit lebih sempurna dengan menyingkirkan toksin. Pupur emas itu dilengkapi teknologi nano yang membolehkan bahan utama seperti nano-emas, asid amino, kolagen, vitamin C, allantoin, squalane, ceramid2, tocopheryl acetate dan daun aloe vera diserap ke dalam kulit sepenuhya serta dengan pantas, sekali gus menjadikan kulit lebih muda dan segar untuk wanita serta lelaki.
Penggunaan pupur emas ini turut diperkenalkan pusat pelangsingan badan dan penjagaan kulit, SlimWorld yang mana pupur emas diimport dari Korea. Ia dikatakan mengandungi 99.99 peratus emas tulen dengan 24 karat, mampu memperlahankan proses penuaan, menjadikan kulit berkilau dan mengurangkan garis halus.
Pupur emas sesuai untuk wanita berusia pertengahan 30-an hingga 40-an. Pada usia itu, wanita lazimnya mengalami masalah kulit kering. Pupur emas dilekatkan pada seluruh kulit wajah turut menggunakan semburan oksigen yang menyerap ke bahagian luar kulit menjadikan kulit lebih lembap. Ia dibiarkan sekurang-kurangnya 20 minit pada wajah sebelum di gosok bagi menanggalkannya daripada wajah.
Penyanyi terkenal tanah air, Ziana Zain turut berkongsi pengalaman menggunakan pupur emas yang ditawarkan di SlimWorld. Ziana yang juga jurucakap syarikat berkenaan, mengakui penggunaan pupur emas pada pertama kali memberikan kesan wajah berseri.
Katanya, rawatan wajah berkenaan mampu mengurangkan garis halus yang dialami wanita berusia 40-an sepertinya di samping menjadikan wajah lebih tegang serta menutup pori-pori yang terbuka bagi menjadikan kulit wajah lebih halus. Ziana mengakui amat menyenangi rawatan wajah menggunakan pupur emas berbanding produk lain seperti suntikan kolagen, serum mahupun botox yang sering kali menjadi pilihan selebriti sepertinya.
“Apabila ditampal pada kulit wajah, kulit wajah berasa tegang. Ia juga bagus untuk mengatasi masalah kulit kering seperti yang dialami wanita pada usia sebaya saya. Saya menggunakannya sejak beberapa bulan lalu dan dapati ia berkesan menjadikan wajah lebih berseri,” katanya.
Katanya, kandungan semula jadi di dalam pupur emas berkenaan menarik perhatiannya untuk mencuba. Tambahan pula ia sesuai dengan falsafah Ziana yang lebih percayakan bahan semula jadi berbanding bahan kosmetik yang diperbuat daripada kimia.
“Cara ini lebih selamat untuk kelihatan lebih muda berbanding suntikan vitamin C, kolagen atau botox yang kita tidak pasti kesan jangka panjangnya. Saya dimaklumkan, suntikan vitamin C yang diambil selama lima tahun boleh menyebabkan masalah buah pinggang dalam jangka masa panjang. Ini cukup menakutkan. Kalau hendak cantik, biarlah secara semula jadi,” katanya.
Selain menjaga pemakanan seimbang, Ziana gemar melakukan rawatan wajah sekurang-kurangnya dua minggu sekali atau paling lama, sebulan sekali. Jika tiada masa, Ziana akan melakukannya sendiri di rumah. Oleh kerana sering berada di luar untuk aktivitinya sebagai artis, Ziana memastikan menggunakan pelindung matahari.
“Saya juga menggunakan pupur pemutih, tetapi ia selamat tanpa kandungan hidroquinon. Sebelah malam pula saya gunakan krim yang dilengkapi vitamin A, C dan E. Jauhi bahan kosmetik yang menyebabkan kulit menjadi gatal atau radang kerana ini menunjukkan ia tidak sesuai dengan kulit anda,” katanya.
Tetap rasa muda menjadi rahsia kejelitaan Ziana Zain mengekalkan tubuh ramping dan wajah jelita. Ibu kepada dua anak berusia lima dan lapan tahun ini, mengakui tidak berasa tua kerana dikelilingi rakan pelbagai peringkat usia. Ziana turut mengelakkan diri daripada tekanan seperti keluar membeli-belah atau menonton video bagi menenangkan perasaannya.
|
|