Putrajaya: Bekas pembantu rumah Nirmala Bonat akan menerima ganti rugi RM349,496 untuk tuntutan sivil beliau terhadap bekas majikannya untuk kecederaan dan kesakitan yang dialami semasa diambil bekerja 11 tahun lalu.
Ini berikutan keputusan tiga anggota panel hakim Mahkamah Rayuan hari ini yang dipengerusikan Hakim Datuk David Wong Dak Wah bagi membenarkan sebahagian daripada rayuan Nirmala berhubung jumlah ganti rugi.
Beliau menambah jumlah ganti rugi am untuk kecederaan pada payudara Nirmala daripada RM105,000 kepada RM200,000, ganti rugi am untuk kecederaan di kepala dan mukanya daripada RM10,000 kepada RM20,000 dan ganti rugi am untuk tekanan emosi yang dialami Nirmala daripada RM40,000 kepada RM100,000.
Panel hakim yang dianggotai Datuk Umi Kalthum Abdul Majid dan Datuk Zamani A Rahim juga mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi untuk menolak 30 peratus daripada jumlah penuh ganti rugi sebanyak RM184,496 selepas meletakkan 30 peratus tanggungjawab Nirmala kerana menyumbang kepada kecederaannya.
Tahun lalu, Mahkamah Tinggi membenarkan saman sivil Nirmala dan memerintahkan bekas majikannya, Yim Pek Ha dan suaminya, Hii Ik Ting membayar ganti rugi kepada beliau RM129,147.20, selepas ditolak 30 peratus daripada jumlah penuh ganti rugi RM184, 496,00.
Di Mahkamah Rayuan semalam, Wong menyemak semula kos perundangan bagi prosiding Mahkamah Tinggi daripada RM10,000 kepada RM50,000.
Sementara itu, panel hakim menolak rayuan pasangan itu mengenai liabiliti dan juga memerintahkan pasangan itu membayar RM30,000 sebagai kos bagi prosiding mahkamah di Mahkamah Rayuan. Nirmala, 30, dari Desa Tuapakas di Indonesia menyaman Yim, 47, pengurus butik dan Hii, 49, bagi kecederaan dan kesakitan yang didakwa dialaminya semasa diambil bekerja sebagai pembantu rumah di rumah pasangan itu di Villa Putera, Jalan Tun Dr Ismail antara September 2003 dan 17 Mei 2004.
Dalam saman yang difailkannya pada Januari 2010, Nirmala mendakwa mengalami kesakitan, penghinaan dan penderitaan fizikal dan mental semasa bekerja dengan pasangan itu.
Yim kini menjalani hukuman penjara 12 tahun di Penjara Wanita Kajang selepas dia gagal dalam rayuan terakhirnya di Mahkamah Rayuan pada 1 Oktober 2012 untuk mengetepikan sabitan beliau atas tiga pertuduhan mencederakan Nirmala. – BERNAMA