Satu lagi adaptasi novel Drama Sha dan Shah telah mula ditayangkan di Astro Ria 104 dan Astro Ria HD 123 bermula pada 4 Januari yang lalu. Memasuki episod ketiga hari ini, drama gandingan Kamal Adli dan Syatilla Melvin ini mengantikan drama Tersuka Tanpa Sengaja.
Drama Sha Dan Shah telah diarahkan oleh Eyra Rahman dan diterbitkan oleh MIG Pictures Sdn Bhd. Drama bergenre romantik komedi ini bersiaran setiap Isnin hingga Khamis bermula jam 10 malam. Antara pelakon lain yang turut menjayakan Drama Sha dan Shah adalah Azwan Kombos, Nina Iskandar, Shima Anuar, Azhan Rani, Aizat Hassan, Kartina Aziz dan ramai lagi.
Sinopsis Drama Sha dan Shah Drama Sha dan Shah mengisahkan tentang dua sahabat baik iaitu Shah lakonan Kamal Adli dan Sha (Syatilla Melvin) yang telah berkawan sejak kecil lagi. Mereka terpisah bila Shah ke luar negara untuk melanjutkan pelajaran manakala Sha pula membuat keputusan untuk belajar di Malaysia sahaja.
Bila Shah kembali ke Malaysia dia mendapat tahu bahawa dia dan Sha telahpun dijodohkan. Shah menolak cadangan ibunya itu kerana dia tidak mahukan komitmen dan lebih gemar berkawan dengan ramai wanita. Malah dia menganggap Sha hanya sekadar sahabat baik namun ibunya pula mengugut untuk menjodohkannya dengan gadis lain.
Kerana tiada pilihan lain, Shah lebih rela berkahwin dengan Sha berbanding dengan calon yang langsung tidak dikenalinya. Pada awalnya Sha tidak bersetuju dengan cadangan yang dianggap tidak masuk akal. Tetapi biarpun tidak memiliki perasaan cinta terhadap Shah, perasaan simpati pula menguasai dan akhirnya Sha bersetuju.
Apa yang bakal terjadi kepada mereka berdua setelah memulakan kehidupan sebagai pasangan suami isteri? Dapatkah Sha belajar untuk mencintai Shah? Sanggupkan Shah curang kepada isteri yang selama ini menjadi sahabat baiknya?
|