|
Beregu lelaki negara, Goh V Shem dan Tan Wee Kiong mengecewakan peminat sukan badminton negara apabila tersingkir pada pusingan pertama Kejohanan Siri Super Terbuka Malaysia 2015 di Stadium Putra, Bukit Jalil, semalam.
Beregu negara itu tunduk kepada pasangan China, Chai Biao/Hong Wei 18-21, 21-15 dan 14-21 dalam saingan selama sejam.
"Sebenarnya permainan kami bukan begitu teruk kerana gagal mengawal perlawanan. Keserasian lebih baik berbanding semasa Terbuka Sweden bulan lepas," kata Wee Kiong pada sidang media selepas perlawanan itu.
Dalam pada itu, pasangannya, V Shem berkata tuah tidak menyebelahi mereka untuk mengibar Jalur Gemilang ke pusingan kedua esok.
"Pada set ketiga itu, beregu China mengubah strategi dengan melancarkan rentak pantas sehingga kami gagal mengejar pungutan mata," katanya.
Sementara itu, jurulatih negara Phang Cheh Chang berkata pasangan itu patut lebih yakin dengan strategi yang dirancang untuk memenangi set ketiga perlawanan itu.
Berbeza pula di kem wanita, di mana dua daripada tiga beregu negara melepasi pusingan pertama.
Vivian Hoo/Woon Khe Wei menewaskan Puttita Supajirakul/Sapsiree Taerattanachai dari Thailand 17-21, 21-17 dan 21-16 manakala pasangan Amelia Aliacia Anscelly/Soong Fie Cho menewaskan pasangan Belanda, Samantha Barning/Iris Tabeling 21-13 dan 31-17.
Pasangan Amelia/Fie Cho akan bertemu Isabel Herttrich/Gerbirgit Michels dari Jerman manakala Vivian/Woon berdepan dengan beregu Indonesia, Anggia Shitta Awanda/Mahadewi Istirani Ni Ketut.
Satu lagi beregu wanita negara, Lee Yee Meng/Lim Yin Lee tewas kepada pasangan dari Indonesia Pia Zebadiah Bernadeth/Inarizki Amelia Pradipta 21-8 dan 24-22.
sumber:www.stadiumastro.com
|
|