Edited by maklukpenggoda at 13-12-2024 05:24 AM
Dikatakan, pinjaman MARA berjumlah RM960,000 dibuat syarikat milik pelakon itu, RCW Worldwide Sdn Bhd dengan Rozita dan anak lelakinya itu sebagai penjamin.
KUALA LUMPUR: Bahagian undang-undang Majlis Amanah Rakyat (MARA) kini dalam proses pemfailan kebankrapan terhadap pelakon Rozita Che Wan, 51, atau lebih dikenali sebagai Che Ta dan anak sulungnya, Ammar Effendy, 28, yang gagal membayar pinjaman hampir RM1 juta sejak 2017.
Langkah itu adalah prosedur susulan yang dilakukan terhadap selebriti itu selepas dia gagal melunaskan hutangnya dalam tempoh tujuh tahun walaupun pelbagai usaha diambil MARA bagi mendapatkan semula wang berkenaan sehingga membawa kes itu ke mahkamah.
Difahamkan, pada Julai tahun lalu, MARA sudah memfailkan notis kebankrapan kepada Rozita dan anaknya itu tetapi disebabkan wujud isu teknikal, ia ditarik balik pada bulan lalu sebelum diteruskan dengan tindakan writ penyitaan dan penjualan (WSS) harta pelakon terbabit pada Selasa lalu.
Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata tindakan kebankrapan kali ini hanya akan dihentikan jika Rozita membayar sepenuhnya pinjaman itu susulan MARA tidak lagi memberi pelanjutan tempoh pembayaran hutang terbabit selepas mahkamah membuat keputusan muktamad mengenainya.
Beliau berkata, tindakan itu adalah proses sama yang diambil MARA terhadap mana-mana peminjam yang enggan atau gagal melunaskan hutang mereka seperti terkandung dalam perjanjian ditandatangani selepas pelbagai pemudah cara pembayaran diberikan..
|