Polis sahkan 9 kenderaan terbakar di Bayan Lepas angkara khianat, tiga ditahan
Oleh Siti Aminah Mohd Yusof - Februari 12, 2026 @ 12:38pm

Laporan BH Online
GEORGETOWN: Polis mengesahkan insiden kebakaran yang memusnahkan sembilan kenderaan di kawasan parkir Kondominium Tunas Residensi, Bayan Lepas pada 27 Januari lalu berpunca daripada perbuatan khianat.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail, berkata siasatan polis membawa kepada penahanan tiga individu berusia 40-an hingga 50-an yang diberkas sekitar Jelutong, di sini pada tarikh yang sama beberapa jam selepas kejadian itu berlaku.
"Mereka yang masih ditahan reman terdiri daripada pasangan lelaki dan wanita yang merupakan pemilik sebuah pusat tuisyen serta seorang lelaki yang bekerja dengan pasangan terbabit sebagai pemandu.
"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dengan api," katanya ketika ditemui pada Majlis Advokasi dan Pelancaran Op Selamat Tahun Baharu Cina di Pasar Awam Jelutong, hari ini.
Media pada 27 Januari lalu melaporkan lima kereta dan empat motosikal musnah dijilat api di Kondominium Tunas Residensi, Bayan Lepas dalam kejadian kebakaran kira-kira jam 4.50 pagi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis dilapor berkata, kejadian itu tidak membabitkan mangsa, namun kenderaan terbabit mengalami kemusnahan sehingga 80 peratus.
Beliau berkata, antara kenderaan yang dilaporkan terbakar ialah Perodua Bezza, Honda CR-V, Perodua Myvi, Toyota Corolla Cross dan Honda Civic dengan api dapat dipadamkan sepenuhnya pada jam 6.08 pagi.
https://www.bharian.com.my/berita/kes/2026/02/1508685/polis-sahkan-9-kenderaan-terbakar-di-bayan-lepas-angkara-khianat-tiga
|