Salah, Hakimi berentap
Oktober 22, 2025 @ 11:28pm

Mohamed Salah dan Achraf Hakimi.
JOHANNESBURG: Penyerang Liverpool, Mohamed Salah, dan pertahanan Paris Saint Germain (PSG), Achraf Hakimi, tersenarai antara 10 calon utama bagi anugerah Pemain Terbaik Afrika 2025, menurut pengumuman rasmi Konfederasi Bolasepak Afrika (CAF).
Kedua-dua bintang itu muncul pilihan utama selepas masing-masing menamatkan saingan Ballon d'Or 2025 di tempat keempat (Salah) dan keenam (Hakimi).
Kapten Mesir, Salah, yang pernah memenangi anugerah berprestij itu sebanyak dua kali, kini memburu gelaran ketiganya, manakala ketua pasukan Maghribi, Hakimi, berhasrat meraih kemenangan sulung dalam kariernya.
Selain Salah, dua lagi pemain Liga Perdana Inggeris turut disenaraikan iaitu pemain tengah Tottenham Hotspur, Pape Matar Sarr, dan penyerang Everton, Iliman Ndiaye, kedua-duanya berasal dari Senegal.
Senarai akhir itu turut menampilkan dua pemain berpangkalan di Afrika, Fiston Mayele dari kelab Mesir, Pyramids FC, yang juga juara Liga Juara-Juara Afrika, serta penyerang kelab Maghribi Renaissance Berkane, Oussama Lamlioui, yang dikenali sebagai penjaring prolifik.
Bagaimanapun, pemenang tahun lalu, penyerang Nigeria Ademola Lookman, tidak tersenarai kali ini, namun juara edisi 2023 yang juga rakan senegaranya, Victor Osimhen, kekal dalam perebutan trofi.
CAF memaklumkan pemilihan dibuat oleh ahli jawatankuasa teknikal dan pembangunan, jurulatih, bekas pemain ternama serta wakil media terpilih dari seluruh benua. - AFP
https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2025/10/1462110/salah-hakimi-berentap
|