Sze Fei- Izzuddin tersingkir di pusingan ketiga
Oleh Aida Adilah Mat - Ogos 29, 2025 @ 7:21am

Beregu lelaki negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani tewas kepada beregu Taiwan, Lee Jhe Huei-Yang Po Hsuan di pusingan ketiga Kejohanan Dunia. - Foto AFP
KUALA LUMPUR: Hasrat beregu lelaki negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani untuk melangkah lebih jauh tidak kesampaian apabila tersingkir di pusingan ketiga Kejohanan Dunia selepas tewas kepada beregu Taiwan, Lee Jhe Huei-Yang Po Hsuan di Adidas Arena.
Pertemuan yang berlangsung tegang itu berlarutan sehingga tiga set sebelum menyaksikan Sze Fei-Izzuddin yang berada di ranking ketiga dunia akur dengan kekalahan 20-22, 21-15, 21-23 dalam tempoh 50 minit.
Ia juga menamatkan rekod baik pasangan negara itu yang sebelum ini mendominasi pertemuan dengan tiga kemenangan daripada empat pertemuan menentang pasangan di ranking ke-18 dunia berkenaan.
Sze Fei-Izzuddin yang pernah bergelar beregu nombor satu dunia pada Mei lalu, tampil dengan reputasi tinggi selepas merangkul beberapa kejuaraan besar sepanjang karier mereka.
Antara pencapaian terbaik mereka termasuk menjuarai Terbuka India awal tahun ini, selain turut muncul juara Terbuka Artik, Terbuka China dan Terbuka Jepun pada tahun lalu.
Namun kali ini, langkah mereka di pentas dunia terpaksa terhenti lebih awal, selepas tidak beraksi ketika di Denmark dua tahun lalu.
https://www.bharian.com.my/sukan/raket/2025/08/1439536/sze-fei-izzuddin-tersingkir-di-pusingan-ketiga
|