Spielberg: Juara enam kali MotoGP, Marc Marquez meraikan perlumbaan ke-1,000 kelas perdana dengan merangkul kemenangan sulung Grand Prix (GP) Austria, sekali gus membuka jurang 142 mata ke atas adiknya, Alex, dalam kedudukan kejuaraan.
Selepas memenangi perlumbaan pecut, semalam, dari petak kedua, Marquez meneruskan dominasi dengan menggondol gelaran berganda buat kali keenam berturut-turut.
Ia sekali gus menjadikan pelumba Sepanyol itu tidak pernah ditewaskan sejak GP Prix Britain pada Mei lalu.
Kali terakhir Marquez meraih enam kemenangan berturut-turut dalam MotoGP adalah pada 2014, dan kini dia semakin hampir memburu gelaran dunia ketujuh dengan baki sembilan pusingan.
Pelumba rookie Gresini Racing, Fermin Aldeguer, mempamerkan kepantasan di penghujung perlumbaan untuk menamatkan saingan di tempat kedua, manakala pelumba Aprilia yang bermula dari petak utama, Marco Bezzecchi, menamatkan perlumbaan di tempat ketiga.
Sementara itu, Alex Marquez sekadar di kedudukan ke-10 selepas dikenakan penalti long-lap.