CariDotMy

 Forgot password?
 Register
CARI sedang mencari rakan kongsi yang berkongsi matlamat sama untuk meneroka lebih banyak peluang bersama. Untuk maklumat lanjut: Klik sini
View: 17937|Reply: 0

Bubur lambuk menu istimewa tidak lekang ditelan zaman

[Copy link]
Post time 6-3-2025 03:02 PM | Show all posts |Read mode

BUBUR lambuk bukan sahaja istimewa, tetapi begitu sinonim dengan Ramadan sejak dari dulu hingga hari ini.

Masak secara beramai-ramai untuk menyediakan bubur lambuk, kemudian diagih-agihkan kepada orang ramai antara tradisi yang tidak pernah dilupakan.

Mengimbau nostalgia bubur lambuk, cef selebriti, Zaidah Mohd Noor, berkata hidangan itu sudah sebati dengan dirinya sejak usia muda apabila sering melihat pihak masjid menyediakannya setiap Ramadan untuk diagihkan kepada orang ramai.

Katanya, apabila sudah bergelar tukang masak, dia juga tidak terkecuali daripada memasak bubur itu, malah pernah masak dalam kuantiti yang banyak untuk ratusan orang.

Menurut Zaidah, selain memasak di tempat terbuka, dia juga pernah diminta memasak bubur lambuk di dalam pusat beli-belah dalam jumlah yang banyak untuk dijamu kepada anak yatim.

Berasal dari Singapura, beliau berkata, penyediaan bubur lambuk di negara itu hampir sama dengan bubur lambuk di Malaysia dengan bahan yang hampir sama.

Nazli (dua dari kiri) dan Zaidah (tiga dari kiri) bersama pemenang Pertandingan Memasak Bubur Lambuk 2025. - Foto NSTP/Rohanis Shukri

"Di Malaysia bubur lambuk ada pelbagai jenis rasa mengikut negeri itu tersendiri seperti di utara yang meletakkan daging dan udang, manakala di negeri Pantai Timur ada yang meletakkan ulam-ulaman.

"Di selatan termasuk Singapura, diletakkan kekacang seperti dal dan kacang tanah untuk memberikan sedikit tekstur dalam bubur, selain sedikit rempah sebagai perasa," katanya ketika ditemui pada Pertandingan Memasak Bubur Lambuk 2025 anjuran Menara Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Pelbagai rasa bubur

Bagaimanapun, Zaidah berkata, semua rasa bubur lambuk sedap baginya walaupun diletakkan apa juga bahan, termasuk memasukkan daun selasih untuk menyedapkan lagi bubur berkenaan.

Beliau yang juga juri pertandingan itu berkata, orang ramai kini semakin kreatif dalam penyediaan bubur lambuk, malah ada yang meletakkan udang galah, daging salai dan gearbox untuk menyedapkan bubur lambuk.

"Dalam Pertandingan Memasak Bubur Lambuk 2025, pelbagai jenis dan rasa bubur lambuk dapat dilihat.

"Saya juga kagum melihat semakin ramai anak muda mula memasak bubur lambuk berbanding zaman dahulu yang lebih banyak dimonopoli golongan berusia," katanya.

Seorang lagi juri, Cef Yang Jamil, berkata bubur lambuk yang turut dipanggil kanji di utara tanah air, adalah makanan hasil kreativiti golongan terdahulu.

Katanya, bubur lambuk dibuat sebagai makanan untuk berbuka puasa kerana selain murah, ia baik untuk kesihatan usus selepas berpuasa seharian kerana mudah ditelan.

"Bubur lambuk juga mudah dibuat kerana tidak banyak bahan yang digunakan iaitu hanya beras, santan, halia, bawang, udang kering dan halba yang dapat membuatkan perut kenyang lebih lama.

"Cuma sekarang sahaja lebih banyak bahan ditambah seperti udang, daging, ayam dan di sesetengah tempat diletakkan rempah dan ulam-ulaman," katanya.

Yang Jamil berkata, sejak lebih 15 tahun lalu juga dia sudah diminta memasak bubur lambuk dalam jumlah yang banyak malah pernah menyediakan untuk sehingga 600 orang makan.

Sementara itu, menggunakan resipi bubur lambuk hasil turun-temurun keluarga, membolehkan Tanjak Katering muncul juara bagi kategori terbuka Pertandingan Memasak Bubur Lambuk 2025.


Pertandingan itu menyaksikan 10 peserta menyertai kategori terbuka, manakala 10 lagi peserta menyertai kategori masjid atau surau.

Pemilik Tanjak Katering, Ikmal Jamil, 32, berkata ini kali pertama dia menyertai pertandingan itu selepas lebih 14 tahun berkecimpung dalam industri makanan dan minuman.

Katanya, dia tidak membuat sebarang persiapan kerana sudah biasa memasak bubur lambuk untuk dihantar ke masjid setiap kali Ramadan.

"Saya memasak bubur lambuk menggunakan resipi ibu yang berasal dari Pulau Pinang. Resipi ini tidak perlu menumis dan tidak menggunakan rempah langsung, malah hanya menggunakan bahan seperti santan, halba, daging, lobak, ikan bilis dan udang.

"Saya tidak menambah bahan lain kerana mahu mengekalkan keaslian rasanya dan mungkin ini yang berjaya memikat selera juri," katanya ketika ditemui selepas pertandingan itu.

Ikmal yang menetap di Puchong berkata, dia akan terus mengekalkan keaslian resipi bubur lambuk turun-temurun itu, tetapi dengan sedikit kelainan.

Juara bagi kategori masjid atau surau pula adalah sekumpulan anak muda dari Ipoh, Perak yang mewakili Masjid Al-Ijtimaa'iah.

Khairul Anuar Haizaron, 27, berkata ini penyertaan kali keduanya dalam pertandingan itu dan tahun lalu, bagi kategori terbuka pasukannya memenangi tempat kedua.

Katanya, kelainan yang ditampilkan adalah dengan meletakkan bahan tambahan istimewa, iaitu daging salai, telur carak dan sambal pedas.

"Selain mahu menampilkan kelainan, kami juga mahu bubur lambuk ini rasa lebih enak dengan keunikan bahan dicampurkan," kata pengusaha katering itu.

Tempat kedua bagi kategori terbuka dimenangi, Wak Kam Sojar, manakala tempat ketiga, Cik Noor Kitchen.

Bagi kategori masjid atau surau, tempat kedua dimenangi, Masjid Ar Rahman Bukit Teh, manakala tempat ketiga Surau At Taqwa.

Juara bagi Pertandingan Memasak Bubur Lambuk 2025 membawa pulang wang tunai RM3,000 dan hamper, tempat kedua RM2,000 dan hamper manakala tempat ketiga RM1,000 dan hamper.

Ketua Pegawai Eksekutif Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd, Nazli Saad, berkata bubur lambuk sudah sekian lama menjadi simbol kebersamaan di Malaysia apabila keluarga dan masyarakat bergotong-royong menyediakan dan berkongsi hidangan itu.

Katanya, bubur lambuk bukan sekadar hidangan, malah ia juga simbol kebersamaan, kemurahan hati dan warisan turun-temurun yang perlu dikekalkan.


Sumber: BH Online

This post contains more resources

You have to Login for download or view attachment(s). No Account? Register

x
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

Category: ExploRasa


ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


© 1996-2026 Cari Internet Sdn Bhd (483575-W)|Hosted By IPSERVERONE|Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

18-2-2026 08:00 PM GMT+8 , Processed in 1.068772 second(s), 15 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list