Washington: Satu varian selesema burung yang merebak secara meluas dalam kalangan burung – dan menyebabkan gejala teruk pada sesetengah manusia – dikesan buat pertama kali menjangkiti lembu tenusu di Amerika Syarikat (AS), menurut pengesahan pihak berkuasa.
Penemuan ini meningkatkan lagi kebimbangan terhadap wabak selesema burung H5N1 yang memberi kesan besar kepada industri ternakan ayam di seluruh dunia boleh berkembang menjadi pandemik manusia.
Jabatan Pertanian AS (USDA) pada Rabu mengesahkan selesema burung yang dikesan pada lembu di Nevada daripada genotip D1.1.
Sebelum ini, genotip virus yang berbeza – B3.13 – merebak secara meluas di ladang lembu AS sejak tahun lalu, dengan lebih 950 kes direkodkan di 16 negeri.
Beberapa pekerja ladang turut dijangkiti strain B3.13 tahun lalu, tetapi hanya mengalami gejala ringan.
Namun, strain D1.1 dikaitkan dengan beberapa kes serius pada manusia, termasuk kematian pertama akibat selesema burung di AS pada awal Januari.
Ketika itu, pihak berkuasa kesihatan memaklumkan pesakit berusia 65 tahun itu mempunyai masalah kesihatan sedia ada dan risiko kepada orang ramai masih rendah.
Menurut USDA di laman webnya, genotip D1.1 adalah genotip dominan di laluan migrasi Amerika Utara sepanjang musim luruh dan musim sejuk lalu, serta sudah dikenal pasti dalam burung liar, mamalia, dan juga dalam unggas ternakan.
Bagi lembu, kedua-dua strain virus itu menyebabkan gejala yang serupa, termasuk "demam, kurang selera makan, pengurangan pengeluaran susu dan tanda-tanda pernafasan ringan," menurut seorang pegawai Nevada yang ditemu bual oleh CBS News.
Peningkatan jangkitan dalam mamalia mencetuskan kebimbangan dalam kalangan saintis, yang bimbang penyebaran virus secara meluas boleh menyebabkan ia bermutasi menjadi varian yang lebih berbahaya.
Ketakutan itu bertambah dengan usaha Presiden Donald Trump untuk memotong perbelanjaan persekutuan secara drastik, yang menurut pakar boleh menjejaskan pemantauan kesihatan awam.
Wabak selesema burung di ladang ternakan ayam juga menyebabkan pemusnahan besar-besaran unggas dan kekurangan telur di seluruh negara.
|