CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 15051|Reply: 0

[Sabah] Kerajaan fokus enam teras utama noktah miskin tegar fasa dua

[Copy link]
Post time 20-11-2024 01:06 PM | Show all posts |Read mode


DUN: Nizam menjelaskan perkembangan Program Menoktahkan Miskin Tegar pada Persidangan DUN.

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri akan terus memfokuskan enam teras utama dalam memperkasakan pelaksanaan Program Menoktahkan Miskin Tegar Fasa Dua 2025.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, enam teras berkenaan termasuk penambahbaikan pemberian rumah mampu milik; peningkatan jenis bantuan pendidikan dan latihan kemahiran; bantuan tunai bersasar; peningkatan ekonomi sara hidup; penambahbaikan program bantuan kebajikan; dan peluang pekerjaan.

Katanya, melalui Inisiatif Ekonomi Biru, kerajaan negeri akan membuka ruang dan peluang ekonomi serta pekerjaan kepada rakyat di Sabah terutamanya golongan miskin dan miskin tegar.

Menurutnya, kerajaan negeri juga akan mengumumkan data dikunci untuk Program Membasmi Kemiskinan dan Miskin Tegar Fasa Dua 2025 dalam tempoh yang terdekat.

"Inisiatif kerajaan negeri untuk menoktahkan miskin tegar di bawah Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) 1.0 berjaya disifarkan pada 31 Julai 2024.

"Program Menoktahkan Miskin Tegar Fasa Satu 2024 iaitu pemurnian data yang dikunci pada Januari 2023 melibatkan seramai 22,510 Ketua Isi Rumah (KIR) dan 94,315 Ahli Isi Rumah (AIR).

"Kerajaan negeri tidak berhasrat untuk mengkaji semula keputusan menoktahkan miskin tegar yang lalu (Fasa Satu-2024) kerana kerja-kerja berkenaan telah selesai dan dimuktamadkan pada 31 Julai 2024," katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Jonnybone J. Kurum (PBS-Telupid) mengenai status perkembangan bagi inisiatif kerajaan untuk menoktahkan kemiskinan di Sabah melalui Pelan Pembangunan SMJ 1.0.

"Usaha kerajaan negeri dalam pengurusan pembasmian miskin tegar di Sabah adalah dengan menggunakan dua jenis data iaitu 'Locked Figure' iaitu data miskin tegar yang dikunci pada Januari 2023 oleh kerajaan Persekutuan dan data dinamik iaitu data yang sentiasa berubah mengikut masa dalam pangkalan data e-Kasih.

"Setakat September 2024, Sabah merekodkan seramai 68,089 KIR berstatus miskin, manakala seramai 3,978 KIR berstatus miskin tegar.

"Jumlah keseluruhan KIR miskin dan miskin tegar adalah seramai 72,067 dan melibatkan 265,335 AIR. Kedua-dua data adalah berdasarkan pangkalan data kemiskinan nasional iaitu e-Kasih," jelasnya.

Bagaimanapun katanya, data dinamik setakat September 2024 yang diperoleh dari sistem pangkalan data e-Kasih menunjukkan seramai 3,978 KIR masih berstatus miskin tegar.

Menurutnya, perubahan status ini dipengaruhi oleh pelbagai faktor iaitu perubahan bilangan ahli isi rumah, perubahan pendapatan, bantuan yang diterima atau ditamatkan serta perubahan maklumat lain seperti meninggal dunia atau berpindah ke negeri lain.


Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

21-11-2024 08:25 PM GMT+8 , Processed in 0.064855 second(s), 12 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list