DUA beranak maut selepas motosikal yang dinaiki mereka dikatakan bertembung dengan sebuah kereta dekat Kilometer (KM) 12, Jalan Tampin- Gemas, Tampin. FOTO Ihsan PDRM
Tampin: Dua beranak maut selepas motosikal dinaiki bertembung dengan sebuah kereta di Kilometer 12, Jalan Tampin-Gemas, di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Tampin Superintendan Amiruddien Sariman berkata, dalam kejadian jam 9 pagi, kereta terbabit dikatakan hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan motosikal dinaiki dua beranak itu.
"Akibat kemalangan itu, penunggang berusia 38 tahun dan ibunya berumur 72 tahun meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu kereta tidak mengalami kecederaan," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, dua beranak itu difahamkan dalam perjalanan pulang dari Gemencheh ke rumah mereka di Pulau Sebang, di sini.
"Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Bahagian Forensik Hospital Tampin untuk proses bedah siasat.
"Kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan pemandu kereta ditahan untuk siasatan lanjut," katanya.
Disiarkan pada: November 10, 2024
|