LEBUHRAYA Pesisiran Pantai (WCE). FOTO Arkib NSTP
Pontian: Pembinaan Lebuhraya Pesisiran Pantai (WCE) dari Banting, Selangor ke Gelang Patah, di sini, merentasi Pontian bakal memberi manfaat dan limpahan ekonomi kepada penduduk di jajaran berkenaan.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, ia termasuk pelebaran dan penambahbaikan jalan bagi memudahkan capaian pengguna ke kawasan sepanjang jajaran serta meningkatkan pelancongan setempat.
Menurutnya, limpahan ekonomi setempat juga dijangka berkembang dengan penawaran pekerjaan baharu termasuk pembukaan hentian rehat dan rawat di beberapa kawasan.
"Sebagaimana yang sudah berlaku di utara seperti di Teluk Intan sampai ke Bagan Datuk terus ke Tanjung Karang, dan juga Sabak Bernam, Sungai Besar sampai ke Banting.
"WCE pula akan disambung ke selatan. Jadi, apabila WCE melalui pelbagai kawasan serta daerah termasuk Pontian, jalan raya di daerah ini mungkin akan menjadi empat lorong bagi menampung pertambahan dan peningkatan kenderaan," katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Malaysia Iconic Rally Championship 2024 di Pusat Perdagangan Pontian, di sini, petang semalam.
Pada pembentangan Belanjawan 2025 lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan projek Lebuhraya WCE dari Banting-Gelang Patah, mengguna pakai pendekatan Kerjasama Awam Swasta (PPP) akan diberi keutamaan tahun depan.
Ketika ini, satu-satunya lebuh raya yang menghubungkan Johor ke Lembah Klang bagi pengangkutan darat seperti lori, bas, kereta dan motosikal adalah Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) yang mula dibuka sejak 1994. sumber
|