AZALINA Othman Said. FOTO Bernama.
Kota Tinggi: Satu konvensyen peringkat nasional akan diadakan pada suku pertama tahun hadapan bagi menghalusi pelaksanaan Dasar Peluang Kedua kepada syarikat yang muflis.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata konvensyen berkenaan akan melibatkan Jabatan Insolvensi Malaysia (MDI) serta pihak berkaitan dan pemegang taruh untuk untuk membincangkan keperluan memperluas Dasar Peluang Kedua kepada syarikat serta pindaan undang-undang berkaitan.
"Lepas (konvensyen) di peringkat kebangsaan, kita akan buat di peringkat negeri.
"Saya tak tahu pada aspek undang-undang sama ada kita nak melihat kepada pindaan undang-undang untuk membantu atau lebih kepada struktur (bantuan)," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Program MyLesen B2 dan Penyerahan Sumbangan Peralatan Sukan Belia Pengerang di sini, hari ini.
Azalina berkata langkah berkenaan sejajar dengan pengumuman oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memperluas Dasar Peluang Kedua kepada syarikat pada pembentangan Belanjawan 2025 bulan lepas.
Pada pembentangan belanjawan itu, Anwar memaklumkan Dasar Peluang Kedua telah memberikan manfaat kepada lebih 170,000 rakyat yang diisytihar bankrap untuk membina semula kehidupan dan melangkah ke hadapan, dasar berkenaan diperluas kepada syarikat-syarikat yang telah dibankrapkan.
|