Sungai Petani: "Saya pun nak kerja, nak sihat macam dulu dan teringin ada pasangan macam orang lain. Entah bila boleh dapat semua itu," luah Muhammad Annuar Rosley, 29.
Pemuda Orang Kurang Upaya (OKU) itu sudah sembilan bulan berjuang melawan derita ditanggung akibat barah otak, ketumbuhan dan angin ahmar sebelah kiri badan kerana kaki, tubuh dan tangan lemah.
Lebih berat lagi apabila Muhammad Annuar hilang penglihatan sebelah kanan, kesan penyakit dialaminya dan dia terpaksa berehat di rumah serta tidak bebas, walaupun merindui kehidupan lampau.
"Dulu, saya bekerja sebagai pembantu kedai namun tak dapat lagi cari rezeki kerana perlu menjalani rawatan selepas dimasukkan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) kerana sakit.
"Bermula dengan hilang penglihatan, kemudian saya disahkan doktor ada ketumbuhan dan barah di otak pula.
"Jadi, memang 'down' sampai hilang semangat tapi keluarga terutama emak dan adik beradik serta kawan beri saya kekuatan untuk lawan penyakit," katanya ketika dihubungi.
Menurut Muhammad Annuar, buat masa ini dia tidak kuat untuk bangun dan berjalan seperti dulu, malah badannya masih lemah dan sering kebas terutama sebelah kiri.
Baru-baru ini katanya, pemeriksaan doktor di hospital mengesahkan ketumbuhan di otaknya sudah mengecut.
"Syukur tapi rawatan susulan masih perlu diteruskan dan November depan, saya perlu menjalani semula pemeriksaan imbasan tomografi berkomputer (CT Scan).
"Diharap ketumbuhan itu hilang terus dan tak perlu menjalani pembedahan seperti disyorkan. Cuma sekarang masih tak boleh berjalan dan kini keluarga panggil tukang urut sebagai ikhtiar untuk bantu kuatkan kaki saya," katanya.
Bagi mengisi kekosongan hati, Muhammad Annuar berkongsi luahan mengenai keadaan dirinya di TikTok @keon_kechik2.
"Ramai beri semangat dan ada juga kongsi kisah mereka yang turut menderita akibat penyakit.
"Moga Allah SWT izinkan saya sembuh kerana nak sangat sihat dan bantu emak emak yang berhenti kerja untuk jaga saya di rumah," katanya.
Orang ramai yang berhasrat membantu boleh menghubungi Muhammad Annuar Rosley di talian 014-883 5302.