SUNGAI PETANI: Berpantang maut sebelum ajal. Demikian yang terjadi pada pemandu sebuah kereta Perodua Axia selepas terbabit kemalangan dengan sebuah treler.
Kejadian berlaku kira-kira jam 10.30 pagi tadi di Kilometer 88.5 Lebuhraya Utara Selatan, dekat Gurun itu turut membabitkan kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza.
Kemalangan berkenaan turut menyebabkan berlaku kesesakan lebih satu jam.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail, berkata siasatan awal mendapati, ketiga-tiga kenderaan terbabit dipercayai dalam perjalanan dari arah Sungai Petani ke Alor Setar.
Beliau berkata, ketika Perodua Alza dipandu lelaki berusia 33 tahun yang sedang berada di lorong kiri jalan secara tiba-tiba treler dipandu lelaki berusia 56 tahun mengubah haluan dari lorong kanan ke lorong kiri.
"Akibatnya, treler itu dan Perodua Alza terbabit bergesel menyebabkan Perodua Alza itu terbabas sebelum memasuki longkang di sebelah kiri, manakala treler berkenaan pula hilang kawalan dan menggelungsur ke kanan jalan.
"Pada waktu itu, pemandu Perodua Axia berusia 34 tahun yang memandu di lorong kanan tidak sempat mengelak lalu merempuh sisi kanan treler terbabit.
"Akibat rempuhan itu, pemandu Perodua Axia yang juga seorang juruteknik mengalami luka di kepala dan tangan, manakala pemandu treler dan Perodua Alza tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya ketika dihubungi hari ini.
Wan Azharuddin berkata, pemandu Perodua Axia itu kemudian dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk mendapatkan rawatan lanjut.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Aman Jaya, Penolong Penguasa Bomba Azahari Abdullah berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kemalangan itu jam 9.39 pagi.
Katanya, sepasukan anggota dari BBP Aman Jaya diketuai Pegawai Bomba Kanan Muhamad Fakrurradzi Omar tiba di lokasi sejurus menerima panggilan.
"Sebaik tiba, anggota bomba mendapati kereta Perodua Axia itu remuk, bagaimanapun pemandu ketiga-tiga kenderaan berkenaan tidak tersepit dan menyerahkan mangsa yang cedera kepada kakitangan Kementerian Kesihatan untuk mendapatkan rawatan lanjut.
"Operasi tamat sepenuhnya jam 10.19 pagi," katanya.