|
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Alor Setar: Dianggarkan kira-kira 100 hektar kawasan sawah yang bergantung kepada sumber air hujan dan air bukit terjejas di seluruh negara akibat cuaca panas yang melanda ketika ini.
EXCO Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PESAWAH), Abdul Rashid Yob berkata cuaca panas berpanjangan memberi kesan kepada tanaman padi kerana boleh menyebabkan air di sawah berkurangan sehingga petak sawah menjadi kering.
Katanya, keadaan itu akan menjejaskan perkembangan pokok padi dan apabila keadaan menjadi semakin teruk, padi akan terbantut dan buahnya menjadi hampa atau tidak berisi.
"Kami mula menerima aduan padi terbantut ini membabitkan pesawah di Perak, Negeri Sembilan dan Melaka apabila mereka tidak dapat menuai padi mengikut jadual tanaman.
"Rata-rata tanaman mereka sudah berusia lebih dua bulan, tapi mereka terpaksa membiarkannya di sawah kerana pokok padi tidak mengeluarkan buah kerana sawah terlalu kering.
"Dianggarkan jumlah pesawah yang terjejas adalah 50 orang, dalam keadaan ini mereka terpaksa menanggung kerugian tinggi kerana sudah mengeluarkan modal untuk menanam padi," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Abdul Rashid berkata, walaupun kes itu tidak membabitkan ramai pesawah, namun ia tidak boleh dipandang ringan mereka yang terbabit turut menyumbang kepada keterjaminan keselamatan makanan negara.
Katanya, kerajaan perlu melihat perkara ini dengan serius apabila terdapat ramalan bahawa musim panas akibat fenomena El Nino kali ini dijangka berlarutan lebih lama.
"Cuaca panas akan menyebabkan sumber air bertambah terhad dan lebih ramai pesawah akan terjejas, pesawah di Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) turut mengalami masalah sumber air kerana ketiadaan sistem pengairan yang sistematik.
"Masalah seperti ini perlu dikawal dari awal, agensi berkaitan perlu memainkan peranan membantu pesawah yang terjejas sama ada melalui naik taraf kemudahan pengairan atau beri bantuan sewajarnya untuk pesawah bertahan.
"Jika tidak negara akan kehilangan lebih banyak hasil padi untuk musim seterusnya kerana keadaan cuaca panas melampau," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... -akibat-musim-panas |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|