CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 3406|Reply: 0

[Pulau Pinang] Pasti ada 'pelangi' untuk kami selepas ini

[Copy link]
Post time 17-9-2023 02:11 PM | Show all posts |Read mode

SYAZANA Fatihah setia menemani suami Muhammad Sazrin Asraf yang diuji kanser usus tahap empat. FOTO Ihsan Syazana Fatihah

Bukit Mertajam: Perjuangan suami isteri ini memiliki zuriat sendiri hampir 'berjaya' selepas menanti selama hampir lima tahun apabila berpeluang melakukan rawatan kesuburan Intrauterine Insemination (IUI).

Begitu pun, di sebalik berita gembira itu, takdir Allah SWT mengatasi segalanya apabila diuji ujian lebih getir selepas seorang daripada mereka didiagnosis kanser usus tahap empat.

Itu yang dilalui Syazana Fatihah Jamil, 26, apabila suami yang juga anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Muhammad Sazrin Asraf Saidin, 29, kini diuji penyakit berkenaan sejak September tahun lalu.

Syazana Fatihah berkata, sebelum ini mereka melalui fasa ujian menjalani rawatan kesuburan bersama demi memiliki zuriat sendiri, namun kini perjuangan itu digantikan dengan episod paling getir bersama suami yang kini melawan kanser.

Katanya, sebelum ini suami menjalani enam sesi kemoterapi di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Pahang dan lima kali radioterapi di Hospital Kuala Lumpur (HKL) namun rezeki tidak memihak kepadanya apabila sel kanser semakin agresif.

"Sekarang suami sedang mengulangi rawatan kemoterapi buat kali kedua dan kini berada di Hospital Bukit Mertajam, di sini kerana mengalami kesukaran bernafas, baru-baru ini. Saya yang sebelum ini berniaga kek batik dan cheesekut hentikan jualan untuk menemaninya setiap kali mendapat rawatan.

"Insya-Allah saya setia bersama suami dalam perjuangannya kerana sebelum ini kami sudah bersama berjuang untuk memiliki zuriat sendiri jadi kali ini saya tidak akan tinggalkan dia biarpun terpaksa melupakan impian itu kerana kesihatan suami lebih penting ketika ini," katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, sebelum ini mereka membuat rawatan kesuburan di HTAA kerana ketika itu suaminya berkhidmat di Kuantan, Pahang dicadangkan prosedur IUI pada Jun tahun lalu namun tiga bulan selepas itu suami didiagnosis penyakit itu.

"Mungkin bukan rezeki kami untuk memiliki anak buat masa ini kerana Allah berikan ujian hebat ini dulu tetapi saya sentiasa bersangka baik kepada Allah kerana yakin dan percaya suami akan sihat serta pasti ada 'pelangi' untuk kami selepas ini.

"Bagi saya penyakit suami adalah ujian berat kedua untuk saya kerana pada 2017 saya jaga arwah abah kerana sakit tibi usus dan sekarang saya jaga suami yang sakit kanser pula tetapi melihat semangat suami buat saya juga kuat," katanya memberitahu mereka berasal dari Pulau Pinang.

Katanya, kini suaminya menjalani rawatan kemoterapi yang masih berbaki 11 sesi di Hospital Pulau Pinang dan kebajikan mereka sentiasa dibantu Angkatan Tentera Malaysia (ATM) khususnya TLDM selain Badan Kebajikan Angkatan Tentera (Bakat) dan masih dalam permohonan bantuan zakat.

"Sebelum didiagnosis kanser usus suami mengalami masalah buang air besar dan ingatkan masalah buasir tetapi berat badan suami juga susut sebelum dia membuat pemeriksaan kesihatan dan selepas menjalani beberapa prosedur doktor mengesahkan penyakitnya itu," katanya.

Katanya, dia suka berkongsi video mengenai kisah mereka di TikTok untuk menyimpan memori yang dicipta bersama ketika berjuang melawan penyakit itu.

"Andai diberikan rezeki zuriat selepas ini, ia boleh ditunjukkan kepada anak. Biar nanti anak lihat usaha dan perjuangan kami untuk mendapatkannya dan menjaga suami kerana semua itu memori yang tidak boleh diulang, jadi saya mahu jadikan ia sebagai kenangan keluarga kami nanti.

"Selain itu, rakan di media sosial juga dapat mendoakan suami dan saya sangat berterima kasih untuk doa mereka selain ia sebagai kesedaran kepada umum untuk segera membuat pemeriksaan kesihatan jika tidak sihat," katanya.
https://www.hmetro.com.my/utama/ ... uk-kami-selepas-ini

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

12-2-2025 12:36 AM GMT+8 , Processed in 0.071710 second(s), 17 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list