CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 2226|Reply: 0

[Pulau Pinang] Aura Toklid Blues

[Copy link]
Post time 4-9-2023 08:23 AM | Show all posts |Read mode
Aura Toklid Blues


Noor Hidayah Tanzizi
[email protected]



Mohd Khalid Mokhtar atau lebih mesra disapa Toklid Blues di aplikasi media sosial itu mencuri perhatian netizen selepas video bapa kepada empat anak dan datuk kepada dua cucu itu bermain gitar dan menyanyi dimuat naik di TikTok. FOTO IHSAN PEMBACA.




Kepala Batas: Petikan gitar elektrik yang kadang-kadang disusuli nyanyian lagu zaman 1960-an hingga 1970-an dan alunan muzik blues yang dimainkan seorang datuk berusia 69 tahun menjadi halwa telinga netizen di TikTok sejak 10 bulan lalu.

Mohd Khalid Mokhtar atau lebih mesra disapa Toklid Blues di aplikasi berkenaan mencuri perhatian netizen selepas video bapa kepada empat anak dan datuk kepada dua cucu itu bermain gitar serta menyanyi dimuat naik di TikTok.

Bekas peniaga pasar malam itu juga kerap membuat penstriman langsung di TikTok dengan menunjukkannya bermain gitar sambil menyanyi lagu seperti Kenanganku nyanyian Jeffrydin, Hidup Bersama (A Ramlie) dan Azizah (P Ramlee) selain membawakan petikan muzik blues yang juga muzik kegemarannya.

Mohd Khalid berkata, dia meminati dunia muzik sejak muda, namun aktiviti seni itu hanya dijadikan hobi mengisi waktu lapang dan pada mulanya dia bermain gitar klasik atau gitar tong sebelum ada individu memberinya dua gitar elektrik.

Menurutnya, gitar elektrik itu dihadiahkan oleh dua individu tidak dikenali yang juga pengikutnya di TikTok baru-baru ini, yang memintanya belajar menggunakan gitar elektrik dan bermain alat muzik itu ketika 'beraksi' di media sosial.

"Saya memang suka main gitar sejak muda cuma dulu sibuk berniaga dan sekarang sudah tidak berkerja jadi saya penuhi masa lapang yang ada dengan aktiviti diminati.

"Menyanyi tidak selalu, hanya kadang-kadang saja dan biasanya akan bawa lagu lama saja selain saya minat muzik blues sebab itu nama di TikTok saya Toklid Blues," katanya yang tinggal di Taman Pokok Sena di sini, ketika dihubungi.

Bagaimanapun, Mohd Khalid berkata, biarpun suka layan TikTok, namun dia tetap mengutamakan amal ibadah mengikut tuntutan wajib serta sunat dalam agama, malah mengakui penstriman langsung dibuat tanpa mengganggu waktu solat.

Menurutnya, setiap amal ibadah dilakukan tidak perlu diceritakan kepada umum terutama di media sosial, malah mengakui menggunakan TikTok dengan menjaga adab dan tidak melakukan perkara tidak manis sesuai usia emasnya.


"Saya juga solat berjemaah di masjid dan biasanya selepas solat sunat Duha antara jam 10 pagi atau 11 pagi baru saya bermain TikTok dalam masa sejam dan saya akan buat kerja lain seperti menguruskan 12 kucing jalanan yang dijaga.

"Pada waktu malam juga begitu selepas solat baru saya buat penstriman langsung. Kadang-kadang kalau lewat balik kerana ada ceramah di masjid saya akan 'masuk' TikTok lambat sikit, tetapi kira-kira jam 12 tengah malam atau 12.30 tengah malam saya akan berhenti untuk tidur," katanya.

Menurutnya, selain sokongan positif netizen dia juga tidak terlepas daripada menerima kecaman negatif, namun semua itu tidak berbekas di hatinya, malah mengakui dia sudah lama memaafkan individu yang mengecamnya di TikTok.

"Ada yang cakap sudah tua buat benda macam ini (bermain gitar dan menyanyi di TikTok), suruh duduk di masjid, cakap 'galak' menyanyilah, tetapi saya tidak hiraukan kerana biasalah di media sosial ada yang suka ada tidak.

"Amal ibadah bukan untuk ditunjukkan serta diceritakan kepada orang dan pada saya muzik ini tidak salah asalkan kita jaga batas dan adab di media sosial.

"Setakat ini saya tidak mengganggu jiran dengan aktiviti muzik," katanya yang turut menyampaikan takzkirah di TikTok pada Jumaat.

Mohd Khalid berkata, malah secara tidak langsung dia dapat menjana pendapatan tambahan melalui hadiah diberikan pengikutnya ketika penstriman langsung yang digunakan untuk kelangsungan hidup bersama isteri dan anak bongsunya yang menghidap penyakit talasemia selain bantuan anak lain.



Disiarkan pada: September 4, 2023 @ 6:50am










Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

12-2-2025 02:56 AM GMT+8 , Processed in 0.078270 second(s), 10 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list