|
SYARIFUDDIN berkata dia berpuas hati dengan keputusan berkenaan. FOTO Ihsan MT-Helmets Msi
Kuala Lumpur: Permulaan yang positif buat pelumba Moto3 negara, Syarifuddin Azman pada sesi kelayakan Grand Prix (GP) Austria.
Syarifuddin yang diberi julukan 'Damok' menamatkan sesi ujian pertama dengan catatan masa 1 minit 43.364 saat untuk berada di kedudukan ke-20 terpantas dan berada di kedudukan ke-28 pada sesi latihan bebas kedua selepas merekodkan 1:43.838s.
Pelumba pasukan MT-Helmets Msi berkata, dia berpuas hati dengan keputusan berkenaan yang menunjukkan ada peningkatan pada jenteranya.
"Selesai hari pertama di GP Austria. Hari ini (semalam) adalah hari yang positif buat saya.
"Saya ada membuat penambahbaikan pada jentera saya. Litar ini adalah litar yang baru buat saya dan pasukan saya banyak memberi sokongan buat saya.
"Saya akan cuba baiki lagi pada hari esok dan jangan lupa terus memberikan sokongan kepada saya dan adik-adik saya di Red Bull MotoGP Rookies Cup," katanya.
Terdahulu pada aksi di GP British yang berlangsung di Litar Silverstone Syarifuddin gagal menamatkan perlumbaan selepas mengalami masalah jentera.
GP Austria adalah perlumbaan kedua buat pelumba negara itu selepas terpaksa berehat kerana mengalami kecederaan retak tulang rusuk akibat kemalangan di GP Itali pada Jun lalu.
Syarifuddin ketika ini berada di kedudukan ke-24 keseluruhan apabila mengumpul lima mata menerusi penamat di tempat ke-11 di GP Argentina, April lalu.
Pelumba dari Red Bull KTM Tech3, Daniel Holgado mendahului carta kedudukan Moto3 dengan mengumpul 141 mata, manakala pelumba Jepun, Ayumu Sasaki dari pasukan Liqui Moly Husqvarna Intact GP tempat kedua dengan mengumpul 119 mata.
https://www.hmetro.com.my/arena/ ... at-damok-di-austria |
|