JITRA: Kira-kira 20 pesawah di Kampung Lembah dan Kampung Tebing di Napoh, di sini kecewa apabila masih tidak dapat mengusahakan kira-kira 30 hektar sawah milik mereka akibat tiada sumber air.
Keadaan itu menyebabkan petani sudah terlewat dua bulan daripada jadual asal penanaman padi bagi musim pertama tahun ini.
Pesawah, Roslan Kasim, 61, mendakwa masalah itu berpunca daripada kegagalan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menyelenggara parit dari kawasan tali air berhampiran.
"Sebelum ini, saliran (parit) itu diselenggara setahun sekali, tapi tahun ini, kerja penyelenggaraan tak berjalan menyebabkan parit jadi semak, sekali gus menghalang air mengalir.
"Kami tunggu sudah hampir dua bulan, tapi tak boleh nak buat apa selagi air tak masuk ke sawah," katanya yang sudah 20 tahun mengusahakan sawah.
Seorang lagi pesawah, Mustafa Ali, 61, berkata kerja-kerja mengusahakan sawah kali ini dijangka berdepan kesulitan berikutan penanaman padi tidak sama waktu dengan sawah berhampiran.
Dia bimbang akan terlepas musim kali ini kerana sawah berhampiran sudah melaksanakan proses menanam dengan bekalan air mencukupi.
"Paling saya risau kos akan naik kerana terpaksa membajak dan meracun semula petak sawah. Selain itu, apabila jadual tanaman tidak seragam dan sekata, jentera yang diperlukan terpaksa datang semula ke sini dan pergerakan itu melibatkan kos," katanya.
Bagi Lim Kim Lai, 68, dia berharap masalah itu selesai segera kerana petani di situ turut mengalami kerugian sewaktu mengusahakan sawah pada musim lalu.
"Ada rumput sahaja, parit semua jadi cetek, air tak boleh salur. Saya minta kerajaan buat bagi elok, petani jadi susah nak buat apa pun tak boleh sekarang," katanya.
Dalam pada itu, Ahli Lembaga Pengarah Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Asun, Othman Awang turut meminta JPS mengambil tindakan segera bagi menangani masalah itu.
"Saya minta JPS Kubang Pasu khususnya dapat menyelia atau menyelenggara tali air ini dengan lebih sempurna dan dapat membekalkan air kepada petani untuk mengerjakan sawah mereka," katanya.