“Saya rasa kalau mereka tak tahu kebenarannya mereka akan terus bercakap. Sama macam kita apabila mengetahui sesuatu isu yang belum sahih.
“Saya okey sahaja orang nak cakap apa pun. Malah netizen inilah yang sekarang datang bagi semangat. Saya yakin selagi orang tak tahu, mereka akan terus bercakap,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Hikayat Ariani Karya Seindah Busana 2025, baru-baru ini.
Mengenai tindakannya tidak menutup ruangan komen dalam media sosial sepanjang isu berkenaan menjadi polemik, Che Ta, berkata, dia berbuat demikian kerana tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan.
“Kita ini hidup dalam demokrasi, setiap orang berhak bersuara. Walaupun mereka bercakap fasal saya sedangkan tak tahu sisi saya yang lain, terpulanglah kepada mereka.
“Itu hak mereka untuk bercakap apa saja sebab kita tutup pun komen, nanti orang sangka kita bersalah sedangkan saya tidak buat salah dengan sesiapa.
“Cuma mungkin apabila tahu kebenaran, baru mereka sedar dan ingat apa yang pernah dikatakan sebelum ini. Saya sendiri pun tak nak menegakkan benang yang basah,” ujarnya.
Menurut Che Ta lagi, pada masa sama dia tidak tahu jika dia mempunyai musuh yang membuatkan ada pihak cuba menjatuhkannya dengan isu terbabit.
“Saya tak tahu. Kalau nak kata saya kenal orang kenamaan, saya tidak ada pun kaitan.
“Saya pun tak tahu ada musuh ada atau tidak tapi siapa tahu kalau kawan sendiri pun mungkin boleh jadi musuh kita? Saya tak tahu,” kongsinya.
Pada 10 Disember lalu, kediaman Che Ta di Kota Damansara, Petaling Jaya dilapor diserbu Mara bersama peguam dan wakil mahkamah berikutan dakwaan gagal melunaskan pinjaman bernilai hampir RM1 juta.
Bagaimanapun pelakon drama Kiah Pekasam itu turut mendedahkan kini sudah bebas hutang dengan agensi berkenaan.
Sumber: – KOSMO! ONLINE