View: 172|Reply: 0
|
Lens tangguh kejuaraan PSG
[Copy link]
|
|
Mbappe (depan) meledak dua gol bagi membantu PSG menewaskan Auxerre 2-1.AFP
PARIS: Paris Saint-Germain (PSG) menghampiri gelaran Ligue 1 apabila dua gol Kylian Mbappe membantu kelab itu merakam kemenangan 2-1 ke atas Auxerre sekali gus kekal di tangga teratas liga dengan kelebihan enam mata berbaki dua perlawanan.
PSG berharap dapat mengesahkan kejuaraan kedua berturut-turut mereka dan kesembilan dalam tempoh 11 musim lebih awal tetapi mereka memerlukan pencabar terdekat, Lens keciciran mata dalam perlawanan sebelum itu.
Lens bagaimanapun mencatat kemenangan 3-1 ke atas Lorient sekali gus menyaksikan PSG memerlukan satu mata daripada dua perlawanan terakhir mereka untuk mengesahkan kejuaraan ke-11 secara keseluruhan dalam saingan liga utama Perancis itu.
Namun, kelebihan perbezaan 16 gol berbanding Lens meletakkan mereka di kedudukan hampir pasti untuk memenangi gelaran musim ini biarpun mengumpul mata yang sama dengan pencabar terdekat mereka itu.
PSG, yang dua perlawanan terakhir mereka di tempat lawan di Strasbourg dan di laman sendiri menentang Clermont, akan mendahului rekod Saint-Etienne sebelum ini iaitu 10 kejuaraan yang mereka samai tahun lalu.
Kedua-dua gol Mbappe hadir dalam lapan minit pertama di Burgundy sekali gus membolehkan dia merekodkan 28 gol musim ini, dua di depan pemain Lyon, Alexandre Lacazette di kedudukan teratas carta penjaring Ligue 1.
Dia menjaringkan gol pada minit keenam, menyudahkan hantaran Fabian Ruiz.
Kedudukan menjadi 2-0 dua minit kemudian, ketika Hugo Ekitike meninggalkan hantaran Lionel Messi untuk Mbappe melakukan rembatan dari tepi. Auxerre menjaringkan satu gol menerusi Lassine Sinayoko pada minit ke-51.
"Trofi sudah pun berada dalam genggaman pemain saya. Kini kami perlu menamatkan saingan dengan cemerlang dalam dua perlawanan seterusnya dan menjulang trofi di tempat sendiri pada hari terakhir," kata jurulatih PSG, Christophe Galtier.
Galtier dan PSG dikritik pada separuh kedua musim ini apabila menyaksikan mereka tewas enam kali dalam saingan Ligue 1 dan tersingkir daripada saingan Liga Juara-Juara selepas tewas di tangan Bayern Munich pada aksi pusingan 16 terbaik.
"Apabila kami melihat kembali dan membuat analisis, kami mengalami tempoh yang sangat sukar selepas Piala Dunia dengan kecederaan pemain utama," tambah Galtier.
"Skuad kami sangat lemah dalam perlawanan besar dan itu menyebabkan kami bermain dengan teruk, tetapi percayalah, ia masih prestasi yang baik untuk memenangi liga." - AFP
https://www.bharian.com.my/sukan ... ngguh-kejuaraan-psg |
|
|
|
|
|
|
| |
|