View: 191|Reply: 0
|
Banyak lagi rekod menanti Haaland
[Copy link]
|
|
HAALAND (kanan) menjaringkan gol ketiga ketika City menang 3-0 ke atas Bayern, awal pagi tadi. FOTO AFP
London: Mesin gol Manchester City, Erling Haaland mencipta satu lagi rekod, semalam, apabila muncul pemain Liga Perdana Inggeris (EPL) pertama menjaringkan 45 gol semusim.
Malah, penyerang Norway itu sudah pasti bakal melakar banyak lagi rekod pada musim pertamanya di England.
Haaland menjaringkan gol ketiga yang melengkapkan persembahan menarik City yang menang 3-0 ke atas Bayern Munich pada perlawanan pertama suku akhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL).
Jaringan itu membolehkan dia memintas rekod 44 gol dijaringkan penyerang Manchester United, Ruud van Nistelrooy dan bintang Liverpool, Mo Salah pada musim 2002-03 dan 2017-18 - tetapi rekod itu dicipta selepas 39 perlawanan iaitu kurang 13 perlawanan berbanding Van Nistelrooy dan Salah.
Pemain liga utama Inggeris terakhir menjaringkan gol terbanyak semusim adalah Clive Allen untuk Tottenham Hotspur pada musim 1986-87 apabila dia meledak 49 gol dan jumlah itu pasti sasaran seterusnya buat Haaland, yang memerlukan lima lagi gol untuk mengatasi Alan Shearer dan Andy Cole yang menjaringkan 34 semusim di EPL.
Pada ketika City masih memburu tiga trofi musim ini, persoalan sekarang adalah sejauh mana Haaland mampu mengatasi semua rekod itu.
Berdasarkan kadar jaringan terkininya, mungkin dia boleh mencapai 60 gol semusim walaupun rekod 73 gol semusim dalam semua kejohanan dilakar Lionel Messi untuk Barcelona pada 2011-12, termasuk 50 gol La Liga, tidak mampu diatasinya.
"Semua pasukan perlu takut dengan pemain ini kerana dia adalah raksasa. Tahniah kepada Manchester City kerana menandatanganinya," kata bekas penyerang Bayern Munich dan Jerman, Mario Gomez kepada BT Sport.
Jumlah 45 gol itu sebenarnya rekod peribadi buat Haaland selepas penyerang berusia 22 tahun itu menjaringkan 44 gol pada 2019-20 (28 untuk Salzburg dan 16 untuk Borussia Dortmund).
Ia adalah gol ke-11nya dalam kempen UCL musim ini, satu gol di belakang Van Nistelrooy yang menjaringkan 12 gol pada kejohanan 2002-03.
Jika dia berjaya mengatasi rekod 17 gol semusim di UCL yang dipegang Cristiano Ronaldo, City mungkin sudah mampu menjulang trofi Eropah itu.
https://www.hmetro.com.my/arena/ ... kod-menanti-haaland |
|
|
|
|
|
|
| |
|