|
SEVILLA gah dengan rekod kelab paling banyak julang trofi Liga Europa. FOTO Agensi
Barcelona: Menentang Manchester United mungkin kelihatan seperti mimpi ngeri tetapi bagi jaguh Liga Europa, Sevilla, perjalanan ke stadium keramat seperti Old Trafford memberikan mereka peluang berehat daripada realiti.
Skuad dari Andalusia itu yang diketuai Jose Luis Mendilibar, jurulatih ketiga musim ini, hampir berada di zon penyingkiran di La Liga, namun lebih selesa beraksi di peringkat Eropah.
Pasukan dengan rekod enam kali juara Liga Europa itu memiliki pemain yang lebih gemar bertarung merebut piala berbanding mengelak penyingkiran, dan mereka menunjukkan tanda peningkatan di bawah kendalian Mendilibar.
Ia memberikan mereka harapan untuk mengatasi juara Eropah tiga kali dikendalikan Erik ten Hag dalam kelompok lapan terakhir.
"Saya yakin, di Eropah, Sevilla lebih dihormati berbanding di La Liga, kerana apa yang mereka lakukan di Liga Europa, mereka memiliki banyak gelaran kebelakangan ini," kata Mendilibar selepas mengambil alih pasukan daripada Jorge Sampaoli.
"Di Manchester, mereka pasti merasa sebagai pilihan tetapi perlu menghormati Sevilla."
Di belakang Sevilla, Inter Milan, Liverpool, Juventus dan Atletico Madid masing-masing pernah merangkul trofi itu sebanyak tiga kali manakala Manchester United sekali pada 2017.
Walaupun berada dalam kelas tersendiri di benua itu, dalam saingan domestik Sevilla terus jatuh dan kini berkedudukan ke-13, lima mata di atas tiga pasukan terbawah.
"(Kami beraksi) agak baik dalam kejohanan Eropah, tidak seperti liga kebangsaan, ia menyedihkan," kata pemain tengah veteran, Ivan Rakitic kepada UEFA.
"Tapi kita semua tahu sejarah keseluruhan Sevilla di Eropah."
https://www.hmetro.com.my/arena/ ... ung-ke-old-trafford |
|