|
Pengendali Manchester City, Pep Guardiola tidak pernah dipecat sepanjang karier pengurusannya. - Foto AGENSI
MANCHESTER: Pep Guardiola berkata dia berjaya mengelak daripada dipecat sepanjang kariernya sebagai pengendali kerana pasukannya memenangi banyak perlawanan.
Musim ini sahaja, 12 pengendali pasukan Liga Perdana Inggeris hilang jawatan mereka, dengan Graham Potter dan Brendan Rodgers meninggalkan kelab masing-masing Ahad lalu.
Potter dipecat selepas hanya membimbing Chelsea selama enam bulan, manakala Rodgers mengakhiri karier empat tahunnya di Leicester.
Pengendali Manchester City, Guardiola ditanya, adakah dia berjaya mengelak dipecat kerana meletakkan jawatan pada masa yang tepat.
Pengendali dari Sepanyol itu, yang dengan sendiri melepaskan jawatannya di Barcelona dan Bayern Munich, berkata kejayaan pasukan kendaliannya di atas padang menjadi faktor dia tidak pernah dipecat.
"Saya akan beritahu anda satu rahsia, kami memenangi perlawanan. Jika kami tidak menang, saya akan dipecat.
"Ia bukan kerana rambut saya lebih baik daripada yang lain. Saya tidak dipecat kerana kami memenangi banyak perlawanan," kata Guardiola.
Menurut Guardiola, pelaburan tinggi ke atas kelab-kelab Liga Perdana Inggeris turut menjadi punca peningkatan jumlah pengendali dipecat.
"Di negara ini, ketika saya masih muda, sudah menjadi tradisi untuk mengekalkan pengendali.
"Apa yang berlaku hari ini dengan tekanan lebih tinggi terhadap semua orang, pelaburan yang besar, saya faham dari mana datangnya tekanan.
"Ada ketika ia berhasil, ada kala tidak. Anda perlu menyesuaikan diri," katanya. - AGENSI
https://www.bharian.com.my/sukan ... rdiola-elak-dipecat |
|