|
Kelantan FC hanya cantik di luar - Jeong
MOON-sik direhatkan daripada mengendalikan Kelantan FC. FOTO FB TRW KELANTAN FC
Kuala Lumpur: Ejen terkenal Asia, Myeongho Jeong menempelak tindakan Kelantan FC yang merehatkan ketua juurlatih dari Korea Selatan, Choi Moon-sik dengan cara salah dan tidak betul.
Malah, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) JMH Sports Agency itu mendedahkan pelbagai kepincangan yang berlaku dalam pengurusan pasukan Kelantan FC yang sebenarnya tidak diketahui umum.
Dakwanya, skuad The Red Warriors bukanlah sebuah kelab profesional, sebaliknya ia bergerak seperti sebuah kelab amatur.
Katanya, sejak kehadiran Moon-sik ke pasukan itu Januari lalu, pemilihan pemain pada setiap perlawanan sebenarnya ditentukan oleh pengurusan tertinggi kelab dan bukannya jurulatih.
Malah, gaji pemain sangkut selama dua bulan selain pasukan terpaksa menempuh perjalanan panjang selama berjam-jam menaiki bas ke venue perlawanan berbanding memilih penerbangan bagi mengelak isu keletihan.
"Pasukan ini (Kelantan FC) cantik di luar, tetapi di dalam ia adalah pasukan yang lebih teruk daripada pasukan amatur.
"Pasukan ini tidak mengikut perancangan jurulatih, sebaliknya pemilihan pemain tanpa merujuk kepada jurulatih.
"Di samping itu, pemain tidak menerima dua bulan gaji. Malah, walaupun akan menentang pasukan yang kuat, mereka menaiki bas selama lebih daripada berjam-jam dan tidak diberikan makanan.
"Semuanya seperti pasukan amatur, tetapi jurulatih melakukan yang terbaik. Pada perlawanan hari ini (menentang Terengganu FC malam tadi), jurulatih tidak dapat memilih pemain dan bos (pemilik kelab, Norizam Tukiman) dan pengarah sudah memilih 11 pemain terbaik tanpa kata maaf," katanya di laman sosial miliknya.
Susulan itu, Jeong bakal mengheret TRW ke Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) bagi mendapatkan pembelaan sewajarnya terutama mengenai isu kelewatan pembayaran gaji.
"Ia sudah tentu, kami sedang menyediakan (laporan) untuk Fifa mengambil tindakan selanjutnya," katanya.
Malam tadi, Kelantan FC membuat pengumuman mengejutkan apabila merehatkan Moon-sik ketika pasukan itu hanya berbaki kurang sejam untuk turun menentang Terengganu FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.
Tanpa menghuraikan sebab tindakan itu, pasukan terbabit melantik Rezal Zambery Yahya sebagai jurulatih sementara dan Kelantan FC akhirnya dibelasah 0-5.
|
|