CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 364|Reply: 0

[Perak] Lelaki ‘kaki gajah’ harap boleh ke masjid semula

[Copy link]
Post time 2-3-2023 01:21 PM | Show all posts |Read mode

SHAHRUL Anuar Halimi menunjukkan kaki kanannya yang membengkak dan membesar sehingga 100kg di rumahnya di Kampung Buaia, Padang Rengas. - UTUSAN

PADANG RENGAS: Keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan ekoran menghidap penyakit menyerupai ‘kaki gajah’ amat membataskan pergerakan Shahrul Anuar Halimi, 47.

Bengkak pada kaki kanannya kerana kerosakan salur limfa, menyebabkan kaki tersebut membesar sehingga melebihi 100 kilogram (kg), sekali gus menyebabkan bapa kepada dua anak itu hanya mampu terlantar dan sukar menguruskan diri.

Meskipun telah 21 tahun menderita penyakit tersebut, Shahrul Anuar sama sekali tidak pernah berputus harap untuk kembali berjalan seperti manusia normal lain.

Malah, impiannya itu bagaikan menjadi kenyataan apabila terbaca kejayaan pembedahan pesakit yang mengalami penyakit serupa di sebuah hospital swasta di Shah Alam.

Shahrul Anuar ditemui di kediamannya di Kampung Buaia di sini memberitahu, dia dijangka menjalani pembedahan yang menelan belanja lebih RM80,000 itu pada Mei.

Katanya, sehingga kini wang sebanyak RM20,000 telah berjaya dikumpul hasil sumbangan orang ramai dan kenalan.

“Apa yang membuatkan saya terharu apabila menerima sampul berisi wang RM1 sebanyak RM116 yang diberikan seorang jiran.

“Masa terima duit itu, saya rasa tidak tergamak untuk ambil, saya menangis mengenangkan keikhlasan dia untuk membantu saya,” katanya di sini hari ini.

Menurut bapa kepada Muhammad Hakimie, 21; dan Nurul Fatihah, 21, yang kedua-duanya berstatus orang kurang upaya (OKU), antara perkara yang mahu dilakukannya selepas menjalani pembedahan itu nanti adalah untuk ke masjid.

Katanya, dia merindui suasana solat di masjid namun keadaan fizikalnya yang sukar bergerak menyebabkan dia tidak dapat berbuat demikian walaupun masjid terletak kira-kira 500 meter dari rumahnya.

“Saya mahu pergi ke masjid, dah lama sangat saya tak ke sana. Saya terlantar begini pun sudah lebih dua tahun dan rasanya dah lebih lapan tahun tidak ke masjid,” katanya.

Sementara itu, isteri Shahrul Anuar, Intanursyima Abd. Halim, 47, berkata, dia berusaha melakukan banyak kerja dalam keterbatasan dirinya ekoran penyakit dialami bagi menampung perbelanjaan rawatan perubatan suami.

Katanya, selain menjual pelbagai jenis kerepek dan makanan lain, dia juga meneruskan perniagaan perapan ayam dan kambing yang diusahakan suaminya.

“Saya buat apa sahaja untuk suami, saya mahu dia sihat dan berjalan seperti dulu. Sudah lama kami tidak rasa kebahagian macam keluarga lain.

“Harapan saya agar pembedahan ini berjaya, saya mahu lihat dia berjalan, dapat berjalan ke tandas sendiri pun jadilah,” katanya yang juga merupakan OKU.

Bagi mereka yang ingin menyalurkan bantuan boleh menyumbang menerusi nombor akaun Shahrul Anuar Halimi 158097689705 (Maybank) atau hubungi di talian 013-5931805. – UTUSAN

https://www.utusan.com.my/nasion ... h-ke-masjid-semula/
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

11-6-2024 07:21 AM GMT+8 , Processed in 0.130247 second(s), 26 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list