|
Peminat teruja terserempak Billie Eilish
Peminat berkongsi gambar dan video ketika terserempak dengan Billie Eilish di KLIA dan sekitar Bukit Bintang.
KUALA LUMPUR: Kehadiran bintang elektropop sensasi yang meraih tujuh trofi Anugerah Grammy, Billie Eilish, 20, menjadi tumpuan peminat ketika bersiar-siar di pusat beli-belah sekitar Bukit Bintang, petang ini.
Semalam, ketibaan Eilish di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menjadi perhatian apabila peminat yang terserempak dengannya berkongsi dalam laman Twitter.
Menerusi perkongsian dalam aplikasi TikTok, Eilish dikelilingi pengawal peribadi, namun, tetap mesra menegur dan membalas lambaian peminat ketika di Bukit Bintang, hari ini.
Penyanyi yang mencipta fenomena apabila karyanya dilaporkan distrim lebih 73 bilion dalam tempoh empat tahun itu bakal menggegarkan Stadium Nasional Bukit Jalil menerusi konsert sulung di Malaysia, sempena siri jelajah dunia, Happier Than Ever, malam esok.
Bukan sahaja kehadiran penyanyi lagu Bad Guy diperhatikan, malah, pengguna Twitter turut memuat naik video pendek sekitar persiapan konsert Happier Than Ever yang sedang rancak dilakukan.
Lebih menarik, senarai lagu yang bakal dipersembahkan pemilik nama Billie Eilish Pirate Baird O'Connell itu juga dimuat naik peminat berdasarkan konsert terdahulu sebelum Malaysia.
Menerusi semakan BH Online, ada juga peminat terpaksa 'berputih mata' menjual semula tiket dimiliki kerana tidak dapat menonton konsert yang cukup dinanti-nantikan peminat di seluruh dunia.
Bahkan, harga tiket yang ingin 'dilepaskan' ditawarkan dengan harga diskaun.
Billie Eilish bakal menggegarkan Stadium Nasional Bukit Jalil menerusi konsert sulung di Malaysia, sempena siri jelajah dunia, Happier Than Ever, malam esok.
Tak ketinggalan, ada peminat mempromosi kemeja T Eilish yang menjalinkan kerjasama dengan pelukis terkenal dari Jepun, Takashi Murakami.
Selain Kuala Lumpur, siri jelajah akan singgah di beberapa ibu kota di Asia seperti Manila, Filipina; Singapura; Bangkok, Thailand dan Tokyo, Jepun.
Terdahulu, anggota kumpulan K-Pop sensasi, RM dan J-Hope turut menghadiri konsert Happier Than Ever di Gocheok Sky Dome Seoul, Korea, kelmarin.
Sejak melancarkan single Ocean Eyes pada 2015, populariti penyanyi kelahiran Los Angeles, Amerika Syarikat (AS) ini melonjak dengan karya unik dan muzik berbeza.
Album When We All Fall Asleep, Where Do We Go? yang diterbitkan pada 2019, melonjak ke tangga pertama carta Billboard 200 di AS dan 17 negara lain.
Album itu termasuk bingkisan terbaharu, Happier Than Ever ditulis, diterbit dan dirakam sepenuhnya Eilish bersama abangnya, Finneas.
Sumber:https://www.bharian.com.my/hibur ... empak-billie-eilish
|
Rate
-
1
View Rating Log
-
|