BUKIT MERTAJAM: "Saya hanya mahu melihat anak kembali sembuh dan membesar seperti kanak-kanak lain."
Demikian harapan Mahamad Sukri Ibrahim, 46, akan keadaan kesihatan anak bongsu, Muhammad Hanif, 2, yang perlu menjalani pembedahan segera berikutan menghidap penyakit jantung sejak lahir.
Bapa kepada empat anak itu memaklumkan sebelum ini, pembedahan berkenaan terpaksa ditangguhkan kerana doktor mendapati ada lebihan cecair dalam otak Muhammad Hanif, selain mengalami masalah sel darah putih yang berlebihan.
"Selepas masalah itu terkawal, penyakit jantung dihidapi anak saya menyerang semula sehingga perlu menjalani pembedahan segera. Lebih-lebih lagi keadaan kesihatannya dikatakan semakin merosot," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.
Namun, Mahamad Sukri berkata, pendapatannya sebagai tukang kebun di sebuah sekolah di Baling, Kedah, tidak mampu membiayai kos pembedahan yang dianggarkan berjumlah RM120,000.
Mahamad Sukri bersama isteri, Salma Man, 44, diuji apabila anak bongsu mereka, Muhammad Hanif Mahamad Sukri yang kini berusia dua tahun berdepan masalah jantung kronik sejak lahir.
"Pendapatan bulanan saya hanya kira-kira RM1,000 sebulan manakala isteri, Salma Man, 44, tidak bekerja kerana perlu menjaga anak, selain dia juga mempunyai masalah jantung.
"Saya begitu buntu mencari jalan untuk menampung kos itu sehinggalah sebuah hospital kerajaan di Pulau Pinang merujuk kes saya kepada badan bukan kerajaan (NGO), One Hope Charity yang kemudian bersetuju untuk membantu. Saya amat bersyukur," katanya.
Sementara itu, Pengerusi One Hope Charity, Datuk Chua Sui Hau, berkata selepas melakukan beberapa pengesahan, pihaknya bersetuju membantu pasangan suami isteri berkenaan untuk mengutip dana sumbangan orang awam.
Beliau menjelaskan, kutipan itu akan dihentikan serta-merta sebaik saja dana untuk menampung kos pembedahan kanak-kanak itu mencukupi, dan ia boleh dilihat melalui laman sesawang:
www.onehopecharity.org atau aplikasi One Hope Charity.
Sebarang pertanyaan lanjut, boleh hubungi pihak berkenaan menerusi talian 016-4192192, 019-2322192 atau 04-5399212.