|
Kanye West. - FOTO Reuters
Melbourne: Artis hip hop Kanye West perlu mendapatkan vaksinasi lengkap sekiranya mahu mengadakan konsert di Australia, kata Perdana Menteri, Scott Morrison.
Amaran itu dibuat kira-kira dua minggu selepas bintang tenis Novak Djokovic gagal memasuki Australia selepas mahkamah bersetuju dengan keputusan kerajaan untuk membatalkan visanya kerana status vaksinasi.
"Peraturannya adalah anda perlu mendapatkan vaksin lengkap. Ia terpakai untuk semua orang. Tidak kira siapa pun anda, peraturan perlu dipatuhi. Jika anda ikut peraturan, anda boleh datang. Jika anda tidak ikut peraturan, anda tidak dibenarkan ke sini," katanya.
Kenyataan Morrison itu adalah rentetan laporan akhbar Sydney Morning Herald yang memetik sumber industri bahawa West merancang untuk mengadakan konsert di stadium di Australia Mac nanti.
Wakil West tidak dapat dihubungi untuk sebarang komen.
Status vaksinasi West tidak diketahui.
Dalam temu bual pada 2021 di media sosial, West berkata bahawa dia sudah mendapatkan satu dos vaksin, namun pada temu bual pada tahun 2020 bersama majalah Forbes, dia dilaporkan berkata, pengambilan vaksin adalah 'petanda binatang'.
Australia, antara negara yang mencatatkan kadar vaksinasi Covid-19 tinggi, sedang bergelut dengan lonjakan jangkitan akibat varian Omicron dengan kira-kira dua juta kes direkodkan.
Sebelum ini, hanya 400,000 kes dicatatkan sejak ia mula dikesan dua tahun lalu.
|
Rate
-
1
View Rating Log
-
|