CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 2231|Reply: 0

Sesudah Sungai Besar dan Kuala Kangsar

[Copy link]
Post time 30-6-2016 03:40 PM | Show all posts |Read mode
Sesudah Sungai Besar dan Kuala Kangsar Hishamuddin Rais     













  

Kita telah membaca dan mendengar keputusan undian dari Sungai Besar dan Kuala Kangsar. Kita juga telah melihat sorak-sorai para penyokong.
Kita juga telah melihat gambar muka Rosmah dengan pakaian merah yang menyambut kemenangan. Muka Rosmah telah diviralkan sebagai ‘hantu’ yang membawa kemenangan.
Rakyat Malaysia untuk pertama kalinya sesudah dua pilihan raya kecil (PRK) ini mendengar Najib bersuara memperlekeh Mahathir. Selama ini Najib senyap menikus takut - tidak menjawab apa sahaja yang dikatakan oleh Mahathir. Senyap Najib ini telah melahirkan konsep roti Najib i.e roti tanpa telor.
Untuk ahli, aktivis dan pemimpin AMANAH, Keadilan dan DAP - saya cadangkan mereka wajib bertanya sesama sendiri - apa yang harus dilakukan sekarang?
Sebelum merungkai perkara ini saya merasa terpanggil untuk sekali lagi memberi pencerahan tentang empat pekara. Pertama: Pengalaman sebagai punca ilmu pengetahuan. Justeru mengumpul pengalaman ialah mengumpul ilmu.
Kedua: Memahami apa itu daulah atau state. Ketiga: Jangan sesekali menyimpan ilusi kemenangan akan tercapai dalam PRU 14, PRU 15 hingga ke PRU10000. Keempat: Kerjasama pensejajaran politik baru.
Mengumpul pengalaman melalui mengambil bahagian dalam proses pemilihan ini akan menjadikan kita berilmu. Berilmu ertinya tahu selok belok dan segala tipu helah yang telah disusun oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk memastikan United Malays National Organisation akan terus menang. Juga berilmu untuk memahami segala tipu helah yang dilakukan oleh musuh.
Bertempur dalam pilihan raya wajib menjadi guru yang akan mengajar kita bijak mendewasa. Jangan sesekali melupakan pengalaman ini. Melupakan pengalaman bermakna meninggalkan segala ilmu pengetahuan. Ertinya kembali menjadi sosok yang bodoh.
Mengenai daulah - dari apa yang saya perhatian pemahaman tentang daulah terlalu cetek di kalangan pemimpin, aktivis dan kader parti. Ini mempengaruhi budaya politik semasa yang menjadikan orang ramai - rakyat biasa bertambah bebal dalam pemahaman tentang daulah. Ini pada pandangan saya keadaan yang tidak sihat.
Aktivis parti yang tidak memahami daulah akan dilihat bodoh. Aktivis parti yang bodoh tidak akan menjadi iklan untuk menarik anggota baru atau melahirkan simpati terutama di kalangan anak anak muda.
Daulah ialah state. Sebuah negara berdiri kerana wujudnya daulah. Daulah memiliki lembaga atau jentera. Polis, askar, mahkamah, penjara, surat khabar, radio dan TV , jabatan agama - ini adalah contoh-contoh lembaga atau jentera daulah.
Berfungsinya jentera daulah ini melalui rujukan-rujukan dari perlembagaan atau melalui Akta Parlimen. Rujukan ini jika kita baca kelihatan molok dan cantik - adil dan sejahtera. Jentera-jentera ini bertugas untuk mempertahankan daulah demi kesejahteraan orang ramai.
Tetapi hakikatnya dalam negara dunia ketiga seperti Malaysia jentera ini akan terus menyebelah kepada siapa yang melantik dan memberi mereka gaji. Taat setia jentera daulah ialah kepada yang memberi mereka pangkat dan gelaran.
Jelas di Malaysia - kesetiaan jentera ini adalah kepada pemerintah yang berkuasa dan yang boleh memberi mereka upah. Yang berkuasa hari ini ialah United Malays National Organisation. Maka semua jentera daulah akan setia dan akan bekerja untuk mempertahankan kuasa parti United Malays National Organisation.
Keadaan menjadi lebih buruk apabila Najib mengajukan dasar negara - ‘cash is king’ - duit itu raja. Ertinya semua boleh dirasuah, semua boleh dibeli. Semua boleh diberi dedak. Ini bermakna lembaga dan jentera daulah juga boleh dibeli dan boleh ditumbuk rusuk mereka jika penumbuk itu besar.
Justeru jika politikus , aktivis dan kader parti tidak memahami apa itu daulah atau memahami daulah secara sipi-sipi maka semua analisa dan kerja politik tidak akan lengkap.
Analisa politik yang tidak lengkap tidak akan membawa hasil yang diharapkan. Fikrah politik yang tuntas memahami daulah. Berpolitik ialah untuk merebut daulah.
Perkara ketiga ialah tentang pilihan raya dan mengundi. Kita jangan ada ilusi bahawa dalam PRU14 Pakatan Harapan akan menang dan mengambil alih kerajaan. Ini mimpi. Ini tidak akan terjadi.Hentikan mimpi ini.
Dalam negara dunia ketiga seperti Malaysia ini belum pernah berlaku perubahan kerajaan melalui pilihan raya. Indonesia menjadi demokratik sesudah Suharto dijatuhkan melalui jalan raya. Filipina menjadi demokratik sesudah Marcos dijatuhkan melalui jalan raya. India melalui zaman darurat 1975-1977 sebelum berlakunya peralihan kerajaan.

Jangan lupa Korea menjadi maju dan demokratik melalui jalan raya. Jangan lupa sejarah Presiden General Park Chung Hee yang dibunuh mati dalam mesyuarat kabinet dalam tahun 1979. Sebelum ini Korea Selatan di bawah diktator tentera.
Di Latin Amerika - hampir semua negara di bawah pimpinan tentera. Rampasan kuasa berlaku berulang kali untuk mengubah kerajaan. Begitu juga di Afrika di mana sistem politik dan pilihan raya peninggalan British ini hampir sama dengan sistem di Malaysia. Justeru inilah yang membuatkan Mahathir berjaya menyamakan Idi Amin dengan Najib.
Hakikatnya di Malaysia jika pilihan raya boleh mengubah apa-apa maka pilihan raya akan diharamkan. Saya berani berkata sedemikian kerana saya ada bukti yang sahih.
Apa yang saya tulis ini bukan omong politik kosong tetapi berpaksikan data sejarah.
Sebelum tahun 1964 - Tanah Melayu ada pilihan raya kerajaan tempatan. Ini bermakna semua ahli majlis tidak dilantik tetapi dipilih melalui pilihan raya secara demokratik.
Setiap kali pilihan raya tempatan dijalankan United Malays National Organisatioin dan kuncu-kuncunya dalam Perikatan kalah. Yang terus menang ialah Parti Buruh dan Parti Rakyat. Akhirnya pada tahun 1964 pilihan raya ini digantung atas nama keselamatan kerana zaman Konfrontasi.
Pada tahun 1976 penggantungan hak rakyat untuk mengadakan pilihan raya tempatan ini bukan ditarik kembali malah dirasmikan pengharaman oleh Parlimen. United Malays National Organisation yang tidak pernah menang dalam pilihan raya kerajaan tempatan telah meluluskan Akta Kerajaan Tempatan 1976. Sah jika pilihan raya boleh mengubah apa-apa pilihan raya akan diharamkan.
Justeru pada pandangan saya pilihan raya kecil di Kuala Kangsar dan Sungai Besar adalah satu sandiwara. Satu bayang-bayang dalam pesta sandiwara pilihan raya Umum yang lebih besar.
Apakah ini bermakna tulisan saya ini menolak PRU dan PRK? Jawapannya ia dan tidak.
Kita wajib menolak PRU dan PRK dalam kerangka yang wujud hari ini. Tetapi kita tidak menolak pilihan raya sebagai satu pendekatan untuk melantik perwakilan, untuk menubuhkan kerajaan atau untuk memilih ahli majlis. Mengundi dan memilih adalah lunas demokrasi yang wajib kita pertahankan.
Sesudah kita memahami tiga pekara di atas maka kita sampai ke perkara yang keempat. Pada hemat saya perkara ini amat-amat penting. Pekara ini ialah tentang upaya mendirikan kerjasama dalam Pakatan Harapan. Menggalang satu barisan bersatu yang besar. Ini memerlukan pensejajaran politik baru - a new realignment.
Ertinya Pakatan Harapan menilai kembali siapa kawan dan siapa lawan. Di mana musuh utama dan di mana musuh sampingan. Dengan siapa kita bekerja dan dengan siapa kita terus berseteru.
Gagal memahami siapa musuh utama dan siapa musuh sampingan akan mengembalikan politik Malaysia ke zaman gelap di mana United Malays National Organisation dan kuncu-kuncunya dalam Perikatan/Barisan Nasional terus menjarah dan merampok harta kekayaan negara ini tanpa halangan.
Selesai kiraan undi di Kuala Kangsar - kita terdengar suara mahu menjemput Parti PAS kembali bersama dalam Pakatan Harapan. Belumpun sempat jemputan rasmi diajukan Tuan Ibrahim Tuan Man telah berkata bahawa Parti PAS tidak mahu bersama dengan AMANAH dan DAP. Ini hakikat.
Para aktivis dan kader Pakatan Harapan wajib mengetahui satu pekara yang paling penting dalam politik. Perkara ini ialah dalam politik wajib ada kerja sama dan tolak ansur. Perlu ada United Front yang lahir daripada perbincangan yang tuntas. Perlu ada kawan sebaris dan kawan seperjalanan. Ada kerjasama sementara dan ada kerja sama berpanjangan.
Rupa bentuk Malaysia yang berbangsa-bangsa memerlukan satu kerjasama politik yang kukuh untuk mendirikan kerajaan. Dalam politik Malaysia hari ini - tidak ada satu parti atau satu bangsa yang boleh mendirikan kerajaan.
Memang ada mimpi-mimpi untuk mendirikan kerajaan hanya dari parti Melayu atau hanya dari parti Islam sahaja. Ini satu mimpi. Ini satu angan-angan. Kalau pun gerombolan Ketuanan Melayu semuanya bersatu - kerajaan sedemikian akan runtuh dalam masa yang amat singkat. Ini hakikat politik dalam negara berbilang bangsa dan pelbagai agama.
Malaysia terpampang sebagai satu negara yang bukan negara satu bangsa.
Dari pandangan mata kasar kita lihat bahawa sentimen pengundi dalam PRK tidak berubah. Dalam PRK pengundi membuat perkiraan yang berbeza ketika mengundi dalam PRU.
Sebenarnya keputusan PRK di Kuala Kangsar dan Sungai Baru tidak jauh bezanya dari keputusan PRU13 yang lalu. Malah penampilan AMANAH yang belum sampai satu tahun cukup meyakinkan. Ini kamarad baru yang wajib diuji dan diduga.
Jika kita ada kawan baru dan jika sikap dan sentimen pengundi tidak banyak berubah maka bagaimana pensejajaran politik baru ini dapat digarap? Tunggu minggu hadapan. Selamat Berbuka.




Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

28-11-2024 01:51 AM GMT+8 , Processed in 0.041393 second(s), 14 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list