CARI Infonet

 Forgot password?
 Register


ADVERTISEMENT

CariDotMy Portal Portal Utama Selebriti Lihat artikel

Lari Dari Kebiasaan

12-11-2013 04:11 PM| Diterbitkan: admin9| Dilihat: 2380| Komen: 0

Description: Tetapi Berbeza Pula Dengan Kanak-Kanak Bernama Ender Wiggin. Kepintaran Dan Kebijaksanaannya Mengatur Strategi Apabila Bermain Permainan Di Komputer Menarik Perhatian Kolonel Graff Untuk Membawanya Ke ...


ADA di antara ibu bapa pada masa kini tidak gemar apabila anaknya kerap bermain permainan di komputer.

Tetapi berbeza pula dengan kanak-kanak bernama Ender Wiggin. Kepintaran dan kebijaksanaannya mengatur strategi apabila bermain permainan di komputer menarik perhatian Kolonel Graff untuk membawanya ke sekolah pertempuran antarabangsa.

Sekolah itu melatih budak terbaik untuk mengetuai armada bagi melindungi bumi dari serangan makhluk asing bernama Formics. Sebelum ini, bumi berjaya diselamatkan dengan keberanian hero International Fleet Commander Mazer Rackham (Ben Kingsley).

Graff yang memilih Wiggin percaya budak lelaki yang sedang meningkat remaja itu memiliki strategi menakjubkan, apatah lagi Wiggin berjaya menguasai permainan perang yang semakin sukar dengan cepat.

Wiggin sentiasa berjaya dan dihormati rakan-rakannya dan diberi anugerah “harapan tentera seterusnya” oleh Graff dan dinaikkan pangkat ke Command School.

Apabila tiba di sana, dia dilatih oleh Mazer sendiri untuk mengetuai askar-askar dalam perang yang akan menentukan nasib bumi dan menyelamatkan manusia.

Filem Ender’s Game diadaptasi daripada novel popular dengan judul sama pada1985. Diarahkan oleh Gavin Hood dan dijayakan oleh Asa Butterfield, Harrison Ford, Abigail Breslin, Hailee Steinfeld, Aramis Knight, Moises Arias, Jimmy Pinchak, Brandon Soo Hoo, dan Ben Kingsley.

Bagi penulis, menariknya filem ini adalah bagaimana seorang kanak-kanak berjaya menonjolkan diri dan mengetuai sesebuah kumpulan yang turut melibatkan orang lebih tua darinya.

Filem ini juga bagus untuk ditonton golongan kanak-kanak terutamanya, bagi mendedahkan mereka bagaimana pentingnya untuk kita mempunyai keyakinan diri yang tinggi, keberanian dan semangat yang kuat.

Apatah lagi Wiggin  dalam filem ini adalah anak bongsu dan sering menjadi mangsa buli di sekolah dan di rumah oleh abangnya.

Namun, dia beruntung kerana  mempunyai ibu dan kakak yang cukup penyayang dan mengambil berat mengenai dirinya.

Strategi tak terjangka

Menariknya, Wiggin juga mampu memikirkan satu strategi menerusi pemerhatiannya dan strategi itu tidak difikirkan oleh orang lain termasuk orang yang lebih tua darinya.

Malah, keberaniannya juga menjadi kunci kejayaannya apabila sanggup melanggar arahan ketua kerana merasa dirinya tidak membuat satu kesalahan yang besar.

Apatah lagi dalam menghadapi seorang ketua yang ego dan tidak suka dikalahkan.

Biarpun ada ketikanya dia seperti kanak-kanak lain yang cepat mengalah dan menangis, namun, Wiggin tidak membiarkan perasaan menguasai diri dan menggunakan akal dalam bertindak.

Plot kurang kemas

Bagaimanapun kurangnya filem ini adalah dari segi pergerakan plot yang agak perlahan biarpun filem ini agak menarik untuk ditonton pada mulanya.

Biarpun memaparkan sinematografi dan imej janaan komputer (CGI) yang cukup cantik, namun ia masih belum cukup memberi kepuasan kepada penonton.

Malah, bagi mereka yang membayangkan ia adalah sebuah filem aksi pertempuran; ada aksi tembak menembak dengan makhluk asing secara realiti, anda patut membuang jauh-jauh bayangan itu.

Ini kerana bagi penulis hampir 90 peratus babak pertempuran berlaku secara maya. Bagaimana rupanya? Anda harus menonton sendiri.

Menariknya, Hood secara jelas memaklumkan akan ada sekuel Ender's Game, namun apa yang mengecewakan apabila Hood meletakkan pengakhiran yang kurang kemas.

Ia secara tidak langsung tidak meninggalkan kesan kepada penonton, pendek kata, tiada momen istimewa yang akan diingati oleh penonton sebaik keluar dari panggung selain daripada keberanian dan kepintaran Wiggin.

Lakonan berkesan

Dari segi lakonan pula, meletakkan Ford selaku teraju utama sudah cukup untuk meyakinkan dan menarik penonton ke pawagam.

Justeru, tidak hairanlah apabila filem ini menjuarai carta filem pecah panggung di Amerika Utara baru-baru ini dengan meraih kutipan tiket sebanyak AS$28 juta (RM88.9 juta).

Biarpun jalan ceritanya kurang menarik, namun ke semua pelakon yang terlibat termasuk Asa yang menjayakan watak Wiggin tidak menghampakan penonton terutamanya Asa yang juga banyak bermain dengan emosi di dalam filem.

Selain itu, Hood juga tidak lupa menyelitkan beberapa babak komedi agar filem ini tidak terlalu berat untuk ditonton dan terasa lebih santai.

Justeru, bagi mereka yang mencari sebuah naskhah yang lain daripada lain dan merindui lakonan Ford, jangan lupa saksikan Ender's Game di pawagam.


Bagus

Marah

Terkejut

Sedih

Lawak

Bosan

ADVERTISEMENT


| Komen di Forum

Komen Terbaru


ADVERTISEMENT



ADVERTISEMENT


 


 


ADVERTISEMENT



ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

11-5-2024 10:36 PM GMT+8 , Processed in 0.102582 second(s), 26 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

To Top