CARI Infonet

 Forgot password?
 Register


ADVERTISEMENT

CariDotMy Portal Portal Utama Selebriti Lihat artikel

Cat Ruffedge Tiga Swagger

28-8-2013 03:44 PM| Diterbitkan: admin9| Dilihat: 4057| Komen: 0

Description: Sejak Menyertai Arena Muzik Tanah Air Sejak Tahun 1990-An, Cat Farish Sudah Masak Dengan Sepak Terajang Dan Jatuh Bangun Sebagai Anak Seni. Justeru Sejak Bersama Ruffedge Lagi, Dia Mengamalkan Sikap T ...
Sejak menyertai arena muzik tanah air sejak tahun 1990-an, Cat Farish sudah masak dengan sepak terajang dan jatuh bangun sebagai anak seni. Justeru sejak bersama Ruffedge lagi, dia mengamalkan sikap terbuka dengan empat lagi anggota kumpulan itu.

Hingga sekarang selepas bergerak solo dan menubuhkan The Fabulous Cats pada 2004, penyanyi berusia 39 tahun ini terus mengamalkan sikap terbuka dan tidak pernah menghalang anggota kumpulan itu untuk merangka masa depan mereka sendiri.
“The Fabulous Cats adalah pelantar terbaik untuk artis baru mempamerkan bakat nyanyian mereka. Walaupun bersama dalam sebuah kumpulan, setiap ahli yang menganggotai kumpulan ini diberi kebebasan sepenuhnya untuk menentukan hala tuju masing-masing.

“Saya gembira jika mereka merasakan pembabitan mereka di dalam kumpulan ini terbaik untuk kerjaya mereka, tetapi jika ada antara anggota The Fabulous Cats yang mempunyai visi lain atau lebih selesa bergerak secara solo di masa hadapan, saya tetap akan memberi sokongan dan tidak akan menghalang,” katanya.



Cat atau nama sebenarnya, Farrish Zaquan Ramli berkata, sejak awal penubuhannya lagi, hanya dia kekal sebagai pengasas dan anggota asal The Fabulous Cats, manakala anggota lain datang dan pergi, namun dia tidak pernah berkecil hati malah berbangga kerana memberi laluan kepada artis baru untuk melancarkan kerjaya seni mereka.


“Sebagai orang yang lebih senior dalam bidang ini, saya berjaya membantu mereka untuk menggapai impian masing-masing. Sekarang hanya saya dan Zizie yang masih teguh bersama The Fabulous Cats tetapi Zizie juga semakin banyak menerima undangan menyanyi secara solo.

“Tiada masalah untuk Zizie bergerak solo, bahkan kami berdua sentiasa menyokong kerjaya masing-masing,” katanya.

Antara mereka yang pernah mencipta nama bersama kumpulan ini ialah Adeep, DJ Sumo dan Ellie yang juga anggota asal kumpulan itu. Mereka kemudian digantikan dengan Alyah, Wangi Julianda, Farhana, Afif dan Hairool.

“Sukar juga untuk mereka bergantung kepada satu sumber pendapatan, malah saya sendiri turut mencipta lagu, berlakon dan menulis skrip. Kita tidak boleh menyekat rezeki orang lain. Yang hilang pasti berganti dan saya gembira kerana artis baru yang menjadi keluarga baru The Fabulous Cats percaya mereka boleh mempelajari sesuatu bersama kumpulan ini," katanya.


Kumpulan empat anggota

Selain itu, Cat turut menubuhkan kumpulan baru yang diberi nama Tiga Swagger bersama Eddie, Beeru dan Syifa.

Katanya, Tiga Swagger adalah kumpulan ketiga ditubuhkannya dan menerusi kumpulan ini, mereka membawakan irama hip hop.

“Apa yang menarik, Tiga Swagger sudah dilamar syarikat milik Datuk M Nasir, Luncai Emas Sdn Bhd untuk bernaung di bawah syarikat itu. Single sulung Tiga Swagger berjudul Power sudah pun siap yang mengetengahkan konsep lagu dan muzik baru.

“Saya tak mahu Tiga Swagger sama dengan kumpulan lain kerana saya buat lagu sekarang untuk masa depan generasi akan datang. Mereka perlukan muzik baru,” katanya.

Walaupun sibuk dengan Tiga Swagger, jelas Cat, peminat yang tetap setia dengan The Fabulous Cats sentiasa menunggu lagu baru daripada kumpulan itu.

“Lagu baru berjudul Sebulatnya sudah ke udara dan selepas ini akan keluar pula lagu duet kami dengan Stacy,” katanya.

Cat juga yang aktif berlakon drama sebelum ini berehat seketika kerana dia mahu bergelar pelakon filem pula dengan MIG. Filem yang bakal dibintanginya ialah Jatuh di mana skripnya ditulis Cat sendiri.

“Saya ada beberapa lagi skrip filem yang semuanya berkisar kepada kehidupan keluarga di kampung. Saya sukakan tema keluarga kerana isu yang berlaku dekat dengan saya dan penonton,” katanya.

Dalam pada itu, Tiga Swagger juga bakal membuat persembahan sempena Pertandingan Bunga Api Antarabangsa di Tasik Putrajaya, Presint 5 selama enam hari mulai 30 Ogos, 31 Ogos, 13 September, 14 September, 15 September dan 2 Oktober depan.

Pertandingan ini adalah anjuran Perbadanan Putrajaya bersama Duago Corporation Sdn Bhd dan ia akan disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 30 Ogos sempena majlis sambutan Ambang Merdeka.

Selain Malaysia, negara lain yang turut mengambil bahagian dalam pertandingan itu ialah Amerika Syarikat, China, Korea Selatan, Perancis dan UAE. Kelainannya ialah ia pertandingan bunga api berirama yang diiringi muzik pilihan negara terbabit.

Presiden Perbadanan Putrajaya, Tan Sri Aseh Che Mat, berkata setiap persembahan bunga api akan mengambil masa selama 25 minit.

“Setiap negara akan membuat membuat persembahan pada satu malam kerana kita tidak boleh membuat persembahan daripada enam negara serentak kerana ia mengambil masa yang lama,”katanya.



Bagus

Marah

Terkejut

Sedih

Lawak

Bosan

ADVERTISEMENT


| Komen di Forum

Komen Terbaru


ADVERTISEMENT



ADVERTISEMENT


 


 


ADVERTISEMENT



ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

13-5-2024 12:37 PM GMT+8 , Processed in 0.185690 second(s), 26 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

To Top