Gambar hiasan
Tanjung Malim: Letupan di sebuah stor penyimpanan barangan kelapa sawit di ladang Risda, Ulu Slim, di sini, malam kelmarin bukan saja mengakibatkan lapan pekerjanya cedera parah, malah mengakibatkan cermin serta dinding tiga bangunan yang terletak berhampiran terjejas teruk.
Kejadian jam 11.20 malam itu turut mengakibatkan hampir keseluruhan bengkel berkeluasan 456 meter persegi itu musnah membabitkan kemusnahan barangan ladang kelapa sawit termasuk racun dan baja.
Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Slim River Md Zin Mohd Saadin berkata, pihaknya menerima panggilan sekitar jam 11.22 malam dan sebaik saja anggotanya sampai di lokasi kejadian, stor berkenaan hampir 80 peratus terbakar.
“Ketika kami sampai, stor sudah terbakar hampir keseluruhannya. Selain api yang marak, beberapa letupan kecil turut kedengaran dan kami percaya ia berpunca daripada barangan didalamnya. “Bomba memadamkan kebakaran menggunakan empat aliran keseluruhannya,” katanya.
Menurutnya, kejadian kebakaran itu dilihat antara yang terburuk apabila beberapa bangunan dan kenderaan di ladang itu turut terjejas.
“Tiga bangunan termasuk dua rumah pengurusan dan satu surau antara yang terjejas akibat letupan itu. Selain semua cermin dan tingkap pecah, bahagian siling serta dinding bangunan itu turut mengalami keretakan teruk.
“Malah, keempat-empat traktor diletakkan dua meter dari stor itu turut musnah, “ katanya di sini, semalam.
Beliau berkata, kejadian turut mengakibatkan pekerja ladang berkenaan cedera parah ketika memadamkan api.
“Saya difahamkan, semua pekerja ladang sedang bermain ping pong 38 meter dari lokasi kebakaran. Namun, sebaik letupan berlaku, mereka cuba memadamkan api,” katanya.
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|