SEJAK filem KL Gangster 2 dicetak rompak, pelakon dan pengarah, Syamsul Yusof tidak muncul-muncul baik di dada akhbar mahupun di kaca televisyen. Begitu pun, namanya kembali hangat diperkatakan pada Januari lalu, lantaran tersebarnya foto-foto majlis merisik seterusnya pertunangan diantaranya dan aktres jelita, Puteri Sarah.
Hari ini (semalam), Syamsul telah sah bergelar suami kepada Puteri Sarah Liyana dengan sekali lafaz, sekitar jam 10.31 pagi masjid Al-Mukarramah, Bandar Sri Damansara. Syamsul atau nama sebenarnya, Mohd Syamsul Mohd Yusof, 29, telah dinikahkan oleh Penolong Pendaftar Nikah Kariah Masjid Al Mukarramah, Bandar Sri Damansara, Ustaz Mat Syaharuddin Al Rashid Mat Isa. Majlis bersejarah pasangan ini turut disaksikan oleh ibu bapa kedua-dua mempelai iaitu Datuk Yusof Haslam dan Datin Patimah Ismail serta Megat Kamaruddin Megat Shamsuddin dan Paridah Puteh. Puteri Sarah Liyana atau nama penuhnya Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin, 28, menerima mas kahwin sebanyak RM1111. Sejurus selepas akad nikah, diadakan upacara pembatalan air sembahyang yang mana Syamsul telah menyerahkan mas kahwin serta menyarungkan cincin kepada isterinya. Ia kemudiannya diikuti oleh Puteri Sarah pula dengan menyarungkan cincin kepada suaminya. Majlis pernikahan tersebut menyaksikan pihak lelaki menerima sembilan dulang hantaran berupa senaskhah al-Quran, sepasang kasut, produk penjagaan wajah berjenama Kiehl’s, buah-buahan, kek, sirih junjung, beg berjenama Boss, komputer riba Macbook dan sepersalinan pakaian dari pihak Sarah. Sementara itu, pihak lelaki pula membalas dengan tujuh dulang berupa sepasang kasut, komputer riba Macbook, buah-buahan, seutas jam tangan, sirih junjung, telekung dan kek. Pakaian pengantin pula ditaja oleh Cosry Couture dan majlis yang serba indah ini turut mendapat beberapa tajaan lain antaranya dari Nasyeed.Com, N’dah Mahligai, Khyro Design, Love Undefined Photography dan Ari Wedding Couture. Resepsi dibatal Berikutan keadaan Syamsul yang tidak mengizinkan, akibat menghidap demam denggi, majlis resepsi di sebelah pihak perempuan yang sepatutnya diadakan di Dewan N’dah Mahligai Shah Alam terpaksa ditunda ke satu tarikh yang akan ditentukan kemudian. Malah, pada hari pernikahan, tangan Syamsul masih lagi dalam keadaan ‘berdrip’ dan dia kelihatan pucat. Ketika ditanya mengenai perkara itu, Puteri Sarah memberitahu, dia tidak langsung berasa ralat akan permasalahan itu. "Apa yang penting, lakukan yang wajib dahulu, majlis resepsi itu boleh ditangguhkan dahulu. Tunggu Syamsul sihat. "Insya-ALLAH, resepsi akan dilakukan hujung bulan ini memandangkan pihak Syamsul akan mengadakan resepsi pada April nanti," katanya. Sementara itu, Syamsul memberitahu, dia berasa serba salah kerana terpaksa menangguhkannya tetapi sedar kesihatan dirinya tidak mengizinkan. "Doktor nasihat, lepas nikah terus balik (hospital). Malah, saya tidak sangka saya mampu untuk hadir ke majlis pernikahan ini. "Saya memang tidak memikirkan apa-apa langsung melainkan hal nikah saja. Saya harap mertua juga tidak marah kerana terpaksa tangguh,” ketawanya. Syamsul telah dimasukkan ke Pusat Perubatan Gleneagles pada 4 Mac lalu, selepas disahkan menghidap demam denggi. Hikmah dari perkahwinan Hubungan percintaan pasangan telah tersebar sejak beberapa lama tetapi kedua-duanya tidak pernah mengesahkan status berkenaan. Sehinggalah tersebarnya berita keluarga Syamsul merisik Puteri Sarah pada 12 Januari lalu, di kediamannya. Ketika di tebak apakah keistimewaan Puteri Sarah di mata Syamsul, dia hanya menjawab: "Naluri saya menyatakan dia boleh jadi isteri yang baik dan saya boleh bimbing dia. "Saya yakin dia boleh jadi isteri solehah jika diajar dengan cara bimbingan yang betul. Kualiti isteri solehah itu, saya tahu dia boleh," tegasnya. Malah, Puteri Sarah juga menjelaskan bahawa Syamsul adalah seorang guru yang baik. "Saya tahu dia boleh bimbing saya. Dia adalah guru saya di dunia dan akhirat," katanya sambil tersenyum. Dalam pada itu, kedua-dua mempelai berharap agar perkahwinan ini memberi keberkatan buat mereka. "Semoga perkahwinan ini memberi hikmah dan rahmat pada diri saya dan Puteri sarah juga kedua-dua keluarga untuk ke arah yang lebih dekat dengan agama," kata Syamsul sambil menjeling manja pada Puteri Sarah. Tak izin berlakon? Biarpun kedua-dua mempelai terlibat dalam dunia seni, namun Syamsul sebenarnya lebih selesa dengan keadaan Puteri Sarah kini yang bekerja sebagai pegawai pemasaran di sebuah butik. "Sebelum ini pun, dia sudah berundur dalam dunia lakonan. Lagipun, dengan pekerjaannya sekarang, dia ada cukup masa buat dirinya. "Tapi, saya akan cuba untuk meminta nasihat daripada orang alim agama kerana itu yang lebih baik dan terbaik," katanya. Begitu pun, katanya, jika yang paling berkat dalam kehidupan suami isteri itu adalah dengan menyuruh Puteri Sarah berhenti berlakon, maka dia akan memilih perkara itu. Dalam pada itu, Syamsul memberitahu, selepas ini dia akan memberi fokus semula pada kerja-kerja lakonan dan pengarahannya yang tertangguh. "Dalam sibuk nak kahwin, saya banyak mempersiapkan diri bagi menjadi suami yang terbaik. "Insya-ALLAH, lepas ini, saya akan menumpukan perhatian semula pada bakal-bakal filem saya," katanya. Bercakap mengenai soal cahaya mata pula, baik Syamsul mahupun Sarah, kedua-duanya tidak pernah merancang dan menyerahkan semuanya kepada ALLAH SWT. Pasangan mempelai ini juga merancang untuk menunaikan ibadah Umrah menjelang Ramadan nanti.
|
spiderman80 posted on 4-3-2014 11:43 PM
Motif Syamsul dimasukkan ke dalam hospital pun nak dijadikan isu? Lagi TT terhegeh-hegeh buka thread ...
spiderman80 posted on 4-3-2014 11:50 PM
Saya retis Hollywood lah!!
ADVERTISEMENT