Kumpulan Ungu. (dari kiri berdiri) Makki, Pasha, Rowman. (depan) Enda dan Oncy. Band popular Indonesia, Ungu, mendedahkan mereka hampir berpecah sekitar tahun 2004 kerana berdepan dengan pelbagai kesukaran. Ketika itu mereka terpaksa menguruskan sendiri perjalanan muzik mereka sendiri selepas mengambil keputusan untuk keluar dari syarikat pengurusan yang lama. Namun pada ketika itu, meskipun berdepan dengan bermacam tekanan, kata vokalisnya, Pasha, mereka masih berusaha untuk menghasilkan lagu-lagu yang bagus buat peminat. "Di sekitar tahun 2003-2004, kami buat keputusan keluar dari syarikat pengurusan. Sejak itu kami yang menguruskan perjalanan muzik kami dan kami berdepan dengan pelbagai kesulitan. Hinggakan kami berfikir lebih baik berpecah dan membawa haluan masing-masing.
"Tapi tekanan yang dihadapi itu membuatkan kami berusaha menghasilkan lagu-lagu yang bagus. Saat itu sebagai jalan terakhir, kami hanya berserah. Sekiranya album 'Demi Waktu' tidak sukses, ertinya kami harus bubar", katanya mewakili anggota lain ketika ditemui pada sidang media sempena Konsert Ungu Live in Malaysia, bertempat di Hotel Vivatel, Cheras, semalam. Pasha, atau nama sebenanrnya Sigit Purnomo Syamsuddin Said, 34, berkata demikian ketika diminta berkongsi pengalaman selama 17 tahun Ungu berjuang dalam persada muzik dan masih mampu bertahan sekaligus mendapat sokongan padu para peminat hingga kini termasuk para peminat di Malaysia. Selain Pasha, Ungu dianggotai oleh Makki (bass), Enda (gitar), Oncy (gitar), dan Rowman (drum). Sejak ditubuhkan pada tahun 1996 Ungu sukses mehasilkan 6 album studio dan 5 album mini berkonsep Ketuhanan. Antara lagu Ungu yang menjadi siulan ramai seperti 'Tercipta Untukku', 'Demi Waktu', 'Cinta Dalam Hati', 'Kekasih Gelapku', 'Sayang', dan 'Hampa'. Sementara itu seorang lagi anggota, Enda, berkata bukan senang sebenarnya sesebuah kumpulan muzik itu kekal bertahan. Namun Ungu berpegang teguh pada prinsip masing-masing memberikan sepenuh komitmen. "Komitmen yang buat kami bertahan hingga hari ini. Ditambah dengan setiap daripada kami punya satu tujuan yang sama",kata pemuzik berusia 37 tahun itu. Ungu yang tiba di Kuala Lumpur petang semalam bakal mengadakan 'Konsert Tercipta Untukku Live in Malaysia' pada 28 Februari (malam ini) bertempat di Kenanga Wholesale, pada jam 8 malam. Ini merupakan kali ketiga Ungu membuat konsert di Malaysia. Berlangsung selama lebih kurang 2 jam, Ungu akan menghiburkan peminat-peminat dengan deretan lagu hits mereka dari album terdahulu hinggga kini.
|
ADVERTISEMENT