Jam 8 malam, Sabtu 22 Mac di KL Live. Itulah waktu, tarikh dan tempat keramat untuk para peminat Steve Vai seluruh Malaysia.
Pejam kelip sudah hampir 14 tahun wira gitar Amerika itu tidak ke mari, terakhir sekali sewaktu penampilan G3 di Stadium Bukit Jalil untuk penutup acara Rentak Asia tahun 2000. Ketika itu, penggila Vai serantau berpeluang menatap segala keajaiban permainan gitar lagenda itu baik shredding mahupun legato band iringannya yang sama mantap, pakaian-pakaian pentas beliau yang menyilaukan, serta puluhan alatan dan instrumen beliau yang bakal menyihir. Tiga tahun sebelum Rentak Asia, Vai menggegarkan Hard Rock Cafe di Singapura. Bagi mencekalkan diri untuk ke KL Live bulan hadapan, ikuti serba sedikit kenangan Vai sendiri tentang lawatan pertamanya ke Asia Tenggara di laman web peribadinya:
“Di Singapura waktu itu, saya terpaksa menghentikan persembahan sebanyak tiga kali sebab polis asyik menghentam orang di barisan depan. Dalam pada itu saya terkejut dan terharu dengan audiens yang tahu lirik dan menyanyikan sekali dalam pada kesesakan dan pembelasahan itu. Namun, tiada yang cedera. saya berbincang dengan polis kerajaan selepas itu dan memberitahu mereka kerisauan saya tentang keselamatan budak-budak (audiens), band saya dan juga saya sendiri, dan tentu mereka tidak boleh ringan tangan sahaja menyentuh dan memukul orang hanya kerana orang menjerit keseronokan. Saya terkejut dengan respon polis juga: mereka meminta maaf dan berkata bahawa mereka akan menangani situasi sedemikian di masa hadapan dengan lebih terurus dan bahawa mereka sesungguhnya tidak mempunyai apa-apa niat untuk mencederakan atau menyakat budak-budak itu.” Vai dan entourage-nya bakal pulang ke Singapura pada 21 Mac, sehari sebelum melawat kita pula di Malaysia. Ura-ura mengatakan bahawa set terkini Vai mengangkat lagu-lagu terkenal seperti For The Love Of God, Tender Surrender,Answers, Racing The World dan Gravity Storm, walaupun persembahannya mungkin lebih intim, lebih fokus danmellow sekarang berbanding 15 tahun dahulu. Kata gitaris lagenda itu sendiri, tentang prospek dua konsert di Asia Tenggara ini: “Band cukup ketat dan bersedia, dan tahap permainan dan persembahan saya lebih baik dan lebih berkuasa daripada sebelum ini. Konsert-konsert kami sekarang penuh kekuasaan dan keberangsangan, kini saya sedia untuk membawanya ke Singapura (dan Malaysia) demi persembahan terbaik yang kami mampu.” Beliau bercakap sebagai seorang yang pemenang tiga kali piala Grammy, seorang bekas gitaris Frank Zappa dan kini dilihat sebagai gitaris rock antara yang paling disegani dan berpengaruh di dunia sejak azali. Vai juga mempunyai label rakaman-nya sendiri, Favored Nations, serta juga pertubuhan Make A Noise, usaha bersama dengan Ruta Sepetys iaitu sebuah organisasi tanpa-untung yang menyediakan pembiayaan untuk program pendidikan muzik buat anak muda yang tidak mampu melibatkan diri dengan aktiviti-aktiviti muzikal. Harapannya ialah kadar harga tiket RM200-400 berbaloi, dan secara tak langsung juga ketetapan harga ini memastikan kesemua pemegang tiket adalah merupakan penggila Steve Vai dan muzik gitar elektrik yang sejati. |
ADVERTISEMENT