JIKA diukur tempoh perjalanannya dalam industri seni, nama Intan Ladyana bukanlah tergolong dalam kategori orang lama. Namun pengalaman selama lapan tahun dalam industri seni juga, tidak boleh dipandang enteng. Apatah lagi, dalam tempoh itu, sudah banyak filem dan drama yang dijayakan oleh aktres yang berusia 31 tahun ini. Bahkan graf lakonan Intan juga sudah boleh dibanggakan. Jika dulu dia digelar 'kayu' ketika berlakon, namun kini Intan sudah boleh mengekspresikan setiap emosi yang dilakonkan dengan baik sekali. Bukan hanya berbakat dalam bidang lakonan, pemilik nama sebenar Intan Nurladyana Mohamat Yahaya ini juga boleh mengacara dan turut melibatkan diri dalam pentas peragaan. Malah dek kerana kecantikan yang dimiliki, Intan yang berdarah kacukan Melayu-Siam ini turut dilantik menjadi duta Shurah. Tidak hanya mahu berdiri di satu tapak yang selesa, Intan memberanikan diri untuk membuka lembaran baru dalam hidupnya selaku pengasas bersama sebagai pengeluar produk minuman kecantikan dan kesihatan berasaskan buah-buahan organik, Intancity Marketing menerusi jenama Lamera. Bukan hanya menyasarkan pasaran di dalam negara, Intan bersama kakaknya, Intan Yusriana Mohamat Yahaya yang juga Pengarah Urusan Intancity dan pengasas produk Lamera menyasarkan untuk menembusi pasaran antarabangsa terutamanya di Dubai berikutan potensi pasarannya yang tinggi. “Ada sebuah syarikat yang berpangkalan di Dubai berminat untuk mendapatkan sekurang-kurangnya 100,000 unit produk Lamera. Sekiranya segala urusan berjalan lancar, Lamera akan berada di pasaran antarabangsa dalam tempoh terdekat,” katanya. Bercerita lanjut mengenai produk tersebut, Intan berkata, idea pengeluaran produk ini sudah difikirkan sejak dua tahun lalu oleh kakaknya. Katanya, memandangkan kini produk berasaskan kesihatan mula menjadi pilihan ramai, maka mereka terfikir untuk memasarkan sebuah produk baru yang bukan sahaja untuk kecantikan, bahkan kesihatan. "Penghasilan Lamera bukanlah bertujuan untuk meniru produk yang sedia ada. Kami sedia maklum, produk berasaskan kesihatan dan kecantikan memang sudah banyak di Malaysia. Namun kebanyakan daripadanya berasaskan kolagen atau rumpai laut dan ada di antara pengguna alah kepada rumpai laut. "Maka kami terfikir untuk membuat produk berasaskan buah-buahan dan Lamera menjalani 24 bulan proses pembangunan dan penyelidikan (R&D) dengan pakar nutraseutikal dari Switzerland dan pakar nutrisi tempatan bagi mendapatkan formula terbaik. "Kami juga mengurangkan penggunaan gula dalam produk ini. Jadi selain daripada penggunaan untuk kecantikan, ia juga sangat bagus untuk kesihatan tulang, sendi, rambut, kuku dan bibir," katanya. Menurutnya, Lamera yang sudah berada di pasaran tempatan sejak 11 November tahun lalu, turut menyasarkan untuk membuka 30 stokis seluruh negara tahun ini. “Setakat ini kami mempunyai kira-kira 10 stokis di Semenanjung Malaysia termasuk satu di Wilayah Persekutuan Labuan. Kami berhasrat menambah 30 lagi stokis seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak selain menarik lebih ramai pengedar atas talian (online)," ujarnya. Intan juga mengakui, penghasilan produk ini juga adalah sebagai salah satu langkah buatnya mengembangkan kerjaya dan pelaburan untuk masa hadapan. "Sebelum kami memasarkan produk Lamera, saya sendiri telah mencuba produk tersebut hampir setahun dan saya dapati kulit saya makin cerah, bersih. Manakala kakak saya pula jerawatnya makin hilang dan ia juga mampu untuk menambah tenaga," jelasnya. Masih trauma Sementara itu, menyentuh mengenai perihal ditipu oleh bekas pembantu peribadinya (PA), Intan berkata, sejak peristiwa itu, dia trauma dan lebih berhati-hati dalam memberi kepercayaan kepada seseorang terutamanya hal-hal yang berkaitan wang tunai. "Buat masa ini saya tidak lagi menggunakan khidmat pembantu peribadi dan selesa menguruskan kerjaya saya sendiri. "Apatah lagi kerana peristiwa itu, saya juga menanggung malu dan nama saya juga turut terseret apabila mangsa-mangsa yang ditipu oleh dia (bekas pembantu) mencari saya. “Lebih mengejutkan saya apabila ramai yang cuba hubungi saya untuk bertanyakan beberapa perkara berkaitan wang tunai termasuk beberapa artis lain yang turut menjadi mangsa iaitu Julia Ziegler dan Rita Rudaini yang mendedahkan ditipu oleh dia," ujarnya kesal. Dalam beberapa laporan sebelum ini, Intan mengakui sudah memberhentikan pembantu peribadinya setelah wanita tersebut menggunakan nama Intan untuk menipu duit peminat bagi kepentingan peribadi. Intan berkata, perkara ini juga sudah dilaporkan kepada pihak berkuasa dan dia enggan mengulas dengan lebih lanjut berkaitan hal tersebut. “Sebenarnya saya tak nak sentuh sangat mengenai perkara ini kerana takut nanti mengaibkan nama orang. Biarlah pihak sepatutnya yang mengendalikan perkara ini," jelasnya. Cinta vs kerjaya Dalam perkembangan lain, Intan berkata, dia kini sedang sibuk menjalani penggambaran drama 24 episod, Jika Itu Takdirku yang disiarkan di slot Akasia bermula 10 Februari ini. Intan berkata, dia bergandingan bersama Shah Iskandar dan turut berlakon bersama pelakon lain seperti Shukri Yahya, Adiba Yunus, Jasmin Jamid, Arash Mohd dan Kuza. Ditanya bagaimanakah caranya membahagikan masa antara kerjaya, bisnes dan hal peribadi, Intan berkata: "Fokus saya sememangnya untuk lakonan dan memang banyak masa saya ditumpukan pada karier. Mengenai perniagaan Lamera pula, saya bernasib baik kerana kakak saya yang banyak menguruskan perjalanan produk tersebut." Bagai tidak lengkap andai tidak menyentuh perihal hubungannya dengan pelakon kacak, Kamal Adli, Intan berkata, hubungannya dengan Kamal baik-baik sahaja. Dan bila penulis mengusik bertanyakan andai Kamal masuk merisik dalam masa terdekat, adakah dia sudah bersedia, Intan berkata: "Saya tak boleh nak jawab lagi sebab benda tak jadi lagi (ketawa). Kalau dah jadi (merisik) baru saya beritahu sama ada saya sudah bersedia atau tidak."
|
Santeira posted on 15-1-2014 04:17 PM
R&D lah sangat. padahal artis byk ambik produk thailand, indon dan china patu repack.
ada sorang ...
ADVERTISEMENT