PELAKON kelas A dan model terkenal, Keira Cristina Knightley yang dilahirkan di London, England merupakan anak kepada penulis terkenal, Sharman Macdonald dan pelakon TV, Will Knightley. Mempunyai darah campuran English-Scottish, aktres yang berusia 28 tahun itu pernah disahkan menghidapi masalah disleksia iaitu masalah dari segi pembacaan, ketika zaman kanak-kanaknya. Biarpun menghidap penyakit tersebut, dia tidak pernah putus asa dan belajar seperti biasa di beberapa buah sekolah seperti Stanley Junior School, Teddington School and Esher College. Namun Knightley sedar dia agak lemah dalam pelajaran dan memutuskan mengejar kerjaya sebagai pelakon. Sehinggakan dia pernah meminta ibu bapanya mencari lokasi uji bakat supaya dia dapat memburu impiannya. Knightley agak bertuah kerana rupa paras yang dimiliki memberikan laluan yang mudah untuknya berkecimpung dalam bidang seni. Sejak kecil lagi, dia berjaya menyertai produksi tempatan untuk lakonan dan teater bagi golongan amatur. After Juliet dan United States, merupakan teater pertama lakonannya dan menjadi permulaan yang baik untuknya melebarkan sayap ke peringkat lebih tinggi. Menyedari minatnya semakin tertumpu pada bidang lakonan, Knightley, berusaha keras mengejar impiannya menjadi superstar sehingga sanggup menolak tawaran untuk belajar di London Academy of Music and Dramatic Art yang merupakan antara kolej seni terkenal di dunia. Penangan Elizabeth Swann Turut mencipta nama sebagai bintang siri televisyen, bakat Knightley, kemudiannya dihidu pengarah dan penerbit tersohor untuk membintangi filem mereka. Kemunculan pertamanya sebagai Sabé menerusi filem box-office, Star Wars Episode I: The Phantom Menace (1999) dan The Hole (2001), sedikit sebanyak memberikan impak yang besar terhadap karier seninya. Kemudian bakatnya mula menjadi perhatian setelah berlakon dalam Bend It Like Beckham (2002) dan namanya mula tersebar di peringkat antarabangsa selepas muncul sebagai Elizabeth Swann dalam filem bersiri, Pirates of the Caribbean (2003–2007). Sejak itu, Knightley dikenali dengan watak-watak golongan bangsawan seperti Pride & Prejudice (2005), Atonement (2007), Silk (2007), The Duchess (2008), A Dangerous Method (2011), dan Anna Karenina (2012). Malah dia turut berlakon dalam pelbagai variasi genre filem di Hollywood termasuk komedi romantik, Love Actually (2003); aksi sejarah, King Arthur (2004); thriller, The Jacket (2005); aksi biografi, Domino (2005); drama, The Edge of Love (2008); Noir, London Boulevard (2010); sains fiksyen, Never Let Me Go (2010); drama romantik, Last Night (2010) dan komedi gelap, Seeking a Friend for the End of the World (2012). Isteri kepada James Righton ini turut menerima pencalonan sebagai Aktres Terbaik dalam Academy Award dan Golden Globe Award. Kedua pencalonan itu bagi watak Elizabeth Bennet dalam Joe Wright’s (2005) filem adaptasi daripada novel Pride and Prejudice karya Jane Austen. Dua tahun kemudiannya, dia dicalonkan sekali lagi dalam anugerah Golden Globe Award (Akters Terbaik) dan Anugerah BAFTA (Aktres Terbaik) yang mana filem lakonannya iaitu Wright’s Atonement. Pada 2008, Forbes mengumumkan Knightley merupakan aktres yang menerima bayaran kedua tertinggi di Hollywood dan dilaporkan menerima pendapatan AS$32 juta (anggaran RM100 juta). Jumlah bayaran yang diterimanya itu telah menobatkan Knightley sebagai artis bukan Amerika yang tersenarai dalam bayaran paling tinggi di sana. Jack Ryan: Shadow Recruit Dalam perkembangan terbaru, Knightley muncul dalam filem Jack Ryan: Shadow Recruit yang akan ditayangkan pertengahan bulan ini. Terpaksa bersaing dengan beberapa pelakon hebat iaitu, Felicity Jones, Evangeline Lilly, Kate Beckinsale dan Jessica Biel merebut watak utama dalam filem tersebut, nyata Knightley berjaya mendahului. Menurutnya, ia merupakan satu penghormatan besar apatah lagi ramai aktres jelita yang inginkan watak tersebut. "Saya gembira menewaskan ramai pelakon wanita yang memiliki kehebatan dalam lakonan mereka. Ia persaingan sihat dan kami bertanding secara adil," ujarnya. Dalam masa sama, aktor kacak Kevin Costner (watak William Harper) turut menandatangani kontrak bersama barisan pelakon filem tersebut seperti Chris Pine dan Kenneth Branagh. Filem berdurasi 104 minit itu berkisar seorang pegawai analisis baharu, Jack Ryan yang bekerja di pejabat CIA telah menemui rahsia tersembunyi serangan pengganas. Tanpa sebarang pengalaman untuk membuktikan penemuannya itu, Ryan dilantik sebagai ejen lapangan dan dihantar ke ke Moscow untuk menyambung penyiasatannya. Tiba di sana, dia bertemu dengan ahli perniagaan, Viktor Cherevin yang bertanggung jawab yang cuba melumpuhkan ekonomi global. Untuk menghentikan rancangan tersebut, dia bekerjasama dengan Knightley dan Costner agar kejahatan itu dapat dihalang.
|
ADVERTISEMENT