SEORANG pengawal keselamatan yang sebelum ini berjalan kaki sebagai nazar kejayaan Pahang memenangi Piala Malaysia 2013 beriltizam mengerahkan tenaga sekali lagi dengan berjalan dari bandar Kuala Lipis ke Kuantan mulai semalam. Abdul Majid Abdul Hamid, 57, atau lebih dikenali Pak Majid berkata, dia terbuka hati bernazar kali kedua sebagai penghargaan kepada pasukan Tok Gajah yang bakal bertemu pasukan kelab dari Singapura, Lions XII untuk perlawanan Piala Sumbangsih 17 Januari depan. Menurutnya, dia akan berjalan kaki selama 17 hari (tiba semasa hari perlawanan) bermula dari bandar ini mulai semalam dan singgah bermalam di Benta, Raub, Bentong, Temerloh, Maran sebelum tiba di bandar Kuantan sejauh 380 kilometer. “Kali ini saya minta lebih ramai peminat setia Tok Gajah dan belia di negeri ini untuk turut serta berjalan kaki sehingga tiba di bandar Kuantan,” katanya. Majlis pelepasan berjalan kaki Pak Majid disempurnakan Ahli Parlimen Lipis, Datuk Abdul Rahman Mohamad di perkarangan Wisma Umno Lipis kira-kira jam 10 pagi. Hadir sama, Ketua Pemuda Umno Lipis, Mohd Farid Mohd Noor; Setiausaha Umno Bahagian Lipis, Ishak Mohamad dan Setiausaha Kerja Umno Lipis, Amir Marwan Mohd Kassim. Pak Majid berkata, hasrat bernazar kali kedua kerana terlampau cintakan skuad Tok Gajah sekali gus memberi perangsang kepada pemain dan peminat untuk menobatkan kemenangan Pahang menggondol Piala Sumbangsih nanti. Menurutnya, sokongan Alex dan peminat Tok Gajah juga menyuntik semangatnya untuk memulakan perjalanan ke Kuantan dengan hanya berbelanja sendiri tanpa tajaan mana-mana pihak. Katanya, pembabitan ramai belia berjalan kaki bersama-samanya bukan sahaja untuk meraikan skuad Tok Gajah, malahan menyahut aspirasi Program Malaysia Cergas yang menitikberatkan gaya hidup sihat dalam kalangan penduduk di negeri ini.
|
ADVERTISEMENT