.
Jarang sekali sebenarnya mereka pergi bercuti tanpa membawa anak-anak. Apatahlagi kalau bercuti ke luar negara. Namun kali ini, pelawak terkenal, Johan bersama isterinya, pelakon Ozlynn terpaksa meninggalkan ketiga-tiga anak mereka di rumah sementara mereka akan bercuti ke Vietnam pada pertengahan Februari depan. Begitupun percutian tersebut bukanlah hanya mereka berdua tetapi khas bersama peminat-peminat. Menerusi pakej Jom Melancong Bersama Selebriti yang dianjurkan oleh AFS Pictures Sdn Bhd dan Al-Hijrah Vacation Sdn Bhd, pasangan suami isteri ini merancang mahu membawa kira-kira 70 orang peminat mereka.
"Kali ni kami pergi bercuti tak bawa anak-anak. Kami memang betul-betul nak luangkan masa bersama peminat. Nanti kalau bawa anak-anak, dah kita sibuk layan kerenah anak-anak pula. Lagipun mereka bersekolah, jadi saya tinggalkan mereka dengan ibu mertua saya. "Saya pilih Vietnam sebab kos perbelanjaan untuk bercuti di negara ni tak lah besar Lagipun nilai mata wangnya kecil. Saya tahu yang peminat-peminat saya terdiri daripada golongan sederhana, jadi tak lah membebankan mereka yang nak ikuti percutian ni", kata Johan ketika ditemui pada sidang media pelancaran program tersebut bertempat di hotel De Palma, baru-baru ini. Luar Negara Lebih Privasi Dalam pada itu Johan memberitahu sesibuk mana pun beliau pada kerja, pasti akan ada masa untuk dia sekeluarga akan pergi bercuti dan destinasi luar negara menjadi pilihan mereka. Bukan tidak mahu menikmati tempat-tempat menarik di negara sendiri tetapi akui Johan, susah untuknya bercuti di dalam negara kerana seringkali beliau didatangi peminat. "Kalau nak cuti, kami sekeluarga pilih luar negara sebab lebih privasi. Berbanding di sini, selalunya akan terserempak dengan peminat-peminat. Mereka semua minta nak bergambar. "Saya kasihan dengan anak-anak saya sebab kalau ada peminat datang nak bergambar dengan saya, anak-anak terpaksa lah tunggu saya. Pernah mereka tunggu saya sampai lebih sejam dan mereka jadi tak selesa", katanya. Sementara itu Ozlynn yang duduk di sebelah Johan spontan berkata, " Kalau misalnya nak bawa anak-anak jalan-jalan atau ke tempat macam pusat membeli belah atau taman tema, kena pilih hari bukan hujung minggu sebab kurang sikit orang. "Kalau kami rancang nak bercuti, kena ikut masa Johan maksudnya, tengok bila dia boleh bercuti. Itu yang kadang-kadang terpaksalah anak-anak ponteng sekolah", tuturnya. |
ADVERTISEMENT