NAMA Aida Khalida barangkali bukan asing dalam industri seni lakonan. Biarpun mula dikenali dengan nama Aida Rahim dan kemudian beralih kepada Aida Radzwill, dia masih individu yang sama, mewarnai industri semenjak awal1990-an lagi. Biarpun sudah tampil berhijab dua tahun lalu, ia tidak sedikit pun menjadi penghalang buat aktres berbakat besar ini, namun akuinya, dia masih mengehadkan tawaran lakonan agar tidak lari dari imej Muslimah. Bukan sahaja berbakat besar, pesona utama Aida di mata sesiapa sahaja adalah sikapnya yang lemah lembut dan percakapannya yang cukup sopan-santun. Bahkan, dalam usianya yang sudah melewati angka 50-an dan sudah berstatus nenda, Aida masih kelihatan cantik dengan susuk tubuh yang ramping. Pendek kata, biarpun sudah berusia, namun Aida masih menawan dan berada dalam kelas kecantikannya yang tersendiri. Apatah lagi, tanpa perlu mendedahkan aurat, atau mengenakan solekan yang tebal, Aida masih mampu untuk menarik perhatian peminat atau sesiapa sahaja. Oleh kerana itu, ramai pasti tertanya-tanya apakah rahsia yang diamalkan oleh wanita ini dalam memastikan mempunyai wajah yang awet muda dan tubuh yang langsing bagi wanita yang sudah berusia. Justeru, Zass mendekati Pelakon Wanita Terbaik (Drama) Anugerah Seri Angkasa 1994 menerusi drama Tak Ingat tak ingat bagi mendapatkan jawapannya. Apakah pengertian cantik & sihat bagi anda? Bagi saya kecantikan adalah hijab yang sempurna bila kita menutup aurat, jaga iman dan menjaga hati. Dari segi kesihatan pula, amat penting kita jaga pemakanan, jalani kehidupan yang sihat. Sebagai wanita yang sudah berusia, anda masih kelihatan cantik, apa rahsianya? Tiada apa rahsia yang khusus tetapi saya hanya menjaga makan, bersenam dan menjaga kerohanian saya. Maksud saya cantik ini adalah dari segi rohani, bila kita bersolat. Membaca al-Quran. Selain itu, adakah anda mengambil ubat-ubatan atau suplemen untuk menjaga kesihatan? Ya, sekali-sekala penting untuk kita lakukan detox dan saya juga ada mengambil suplemen yang bahan-bahannya berasaskan buah beri untuk kesihatan dalaman. Tapi setiap orang berbeza suplemen yang perlu di ambil. Jadi amatlah penting untuk kita lakukan pemeriksaan bagi mengetahui apa yang kurang dan lebih dalam badan kita. Bagi perancangan jangka panjang, adakah anda merancang atau melakukan apa-apa rawatan demi kesihatan? Tidak sama sekali. Bagi saya kini, apa yang saya amalkan, apa yang saya buat, biarlah mendapat manfaat dan menjadi pahala buat saya. Manfaat untuk saya di akhirat. Boleh kongsikan rutin harian anda? Bukan saya nak riak ya, tetapi semenjak saya berhijrah, masa saya banyak saya habiskan dengan mendalami ilmu agama. Sebelum matahari terbit, saya akan ambil masa untuk solat sunat, tahajud dan kemudiannya selepas menunaikan solat Subuh, saya akan membaca al-Quran. Selepas itu barulah bersenam dan seterusnya tugas harian seperti kerja rumah dan kerja saya sendiri. Bagaimana pula rutin senaman? Sejujurnya saya lebih selesa berjoging di rumah sahaja, kerana menjaga aurat saya. Tetapi jika ada masa terluang, saya akan ke gimnasium bersama kawan-kawan. Tapi jarang sekalilah, kerana saya lebih gemar bersenam di rumah sahaja. Boleh kongsikan rutin pemakanan anda? Saya lebih banyak amalkan memakan buah-buahan sebelum makan dan minum air suam. Selain itu saya hanya makan seperti biasa, tiada diet khusus. Ramai wanita gemar meluangkan masa ke spa untuk merehatkan badan, apakah anda juga memilih cara sama? Oh tentu sekali dan saya ada kawan yang membantu saya untuk berurut kerana sekali sekala badan kita memerlukan rehat setrta berurut dapat membantu melancarkan peredaran darah dalam badan. Selain itu, apa aktiviti yang gemar anda lakukan pada waktu luang? Saya gemar membaca tafsir al-Quran, beberapa tafsir hadis dan sebagainya. Selain itu, saya gemar menghadiri majlis-majlis ilmu. Apa perkembangan terkini anda? Semalam (Isnin), saya baharu sahaja selesai mengikuti misi bantuan mangsa banjir ke Kemaman, Terengganu dan Kuantan, Pahang bersama kumpulan Usrah Fitrah saya. Kami membantu mengagihkan makanan dan membersihkan kawasan sekolah yang dilanda banjir. Istimewanya majlis ini mendapat tajaan dari pihak Adabi dan masjid Al Muqaramah, Bandar Sri Damansara. Selain itu, esok (hari ini), saya akan memulakan penggambaran sebuah telefilem untuk TV3. Apa nasihat anda untuk semua wanita di luar sana? Apa yang kita lakukan, amat penting menjaga hati, iman dan aurat kita kerana dari hati, iman serta auratlah terbitnya kecantikan itu.
|
salimrock posted on 19-12-2013 02:38 PM
aida rahim ke aida radzwill pastu aida khalida....
tp rasa nye rahim tu nama x hasben dia..
ADVERTISEMENT