Menyifatkan lakonan sebati dalam jiwa, pelakon, Faralyna Idris, 30, mengakui merindui suasana di lokasi penggambaran, namun hatinya tidak terlalu mencari projek lakonan.
Faralyna yang juga ibu kepada dua cahaya mata perempuan berkata, dia lebih gembira memberi fokus pada rumah tangga dan kehidupannya kini tidak terikat dengan kesibukan di lokasi penggambaran. "Ketika hamil anak kedua, saya dilimpahkan rezeki apabila sibuk di lokasi penggambaran dalam keadaan sarat. Suami tak pernah menghalang kerana sukar menolak rezeki dalam bidang lakonan yang juga minat saya. "Saya seronok Allah bukakan semula jalan dalam bidang lakonan, namun saya tiada pembantu dan sanggup mengambil orang menjaga anak di lokasi penggambaran.
"Biarpun dapat memegang duit semula, namun, jauh di sudut hati, saya tidak gembira dan rasa kehilangan sesuatu. Jadi, saya ambil keputusan berehat dan menjalani semula rutin seperti biasa. "Di sini, saya lebih gembira biarpun tidak mempunyai pendapatan seperti dahulu," katanya kepada BH Online.
Mengulas tidakkah sayang meninggalkan kerjaya lakonan, Faralyna berkata, Allah memberikannya sesuatu lebih besar apabila dapat kembali kepada keluarga. "Apabila dikenang semula, saya kasihan dengan anak kedua. Dia masih kecil, tetapi saya terpaksa mengusung ke lokasi penggambaran sehingga awal pagi. "Bercakap mengenai takdir, saya pernah keguguran ketika kandungan berusia lima bulan. Ketika itu, saya sangat sedih tiada apa-apa yang tidak baik berlaku sepanjang tempoh kehamilan.
"Saya tidak dapat menerima kenyataan dan kerap bertanya di mana salah dan silap. Sepanjang berpantang, saya melalui proses ini dalam keadaan tertekan dan seperti berada dalam kesedihan yang tiada penghujung. "Tambahan pula doktor memaklumkan bakal mendapat cahaya mata lelaki," katanya. Tidak mahu dibayangi kesedihan, Faralyna berkata, dia kini berdamai dengan takdir dan reda seikhlas hati kerana tidak nampak hikmah di sebalik ujian yang dilaluinya.
Faralyna berkata, dia pernah meniti zaman kemuncak apabila dilimpahi pelbagai tawaran lakonan yang membuatkannya tidak mempunyai banyak masa bersama keluarga. "Saya menyifatkan perkahwinan dan zuriat memberi ruang menebus semula masa yang terabai bersama insan disayangi," katanya. Faralyna berkongsi mengenainya menerusi temubual bertajuk Rahsia Dia: Jodoh dan Ketentuan menerusi Instagram (IG) Live anjuran Nurflixtv pada Ahad lalu.
Temubual ini dihoskan oleh Diana Amir dan panelnya adalah Zizi Kirana, Faralyna dan Ustazah Asni. Terdahulu, Faralyna mendirikan rumah tangga dengan Muhammad Fikri Abdullah pada Disember 2014. Mereka dikurniakan dua cahaya mata, Fira Anggun, 6, dan Ayu, 3. -CARI Sumber: Berita Harian
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|